Friday, August 15, 2014

2094) SINAR HARIAN 15/8/2014 - Amuk Punya Logik dalam boikot - PPIM



Amuk Punya Logik dalam boikot

BEBERAPA outlet McD dan pekerja-pekerja diserang. Apakah puncanya? Mengapa tidak pula terlalu marah tahun-tahun sebelum ini? Yang penting diberi perhatian di sini ialah mengapa tiba-tiba obsesi boikot meletup sehingga tercetus ‘amuk’ yang ganas.

Psikologi amuk ini ada beberapa tahap. Tahap pertama tidak ganas iaitu apabila seseorang memendam rasa tidak puas hati terlalu lama dan berfikir dengan logik yang tidak proaktif yang saya namakan sebagai ‘Amuk Punya Logik’ (APL).

Contoh APL terdapat dalam kenyataan Datuk Nadzim Johan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Beliau menyarankan agar pekerja-pekerja McD berhenti kerja sebagai jihad. McD mempunyai pekerja melebihi 12,000 dan 85% adalah Melayu Muslim.

Juga, hampir setengah pemilik francaisi juga adalah Melayu Muslim. Datuk Johan berkata bahawa penganut Islam jangan beri alasan tidak berhenti kerana rezeki adalah daripada ALLAH SWT. Tetapi cuba bayangkan bila golongan yang sudah dicengkam perasaan amuk membaca kenyataan Johan, apakah golongan ini akan buat terhadap pekerja-pekerja McD?

Menyuruh pekerja McD untuk berhenti kerja adalah modal air liur sahaja, tetapi adakah Johan bersedia berjihad dengan menderma sebahagian besar hartanya untuk membantu pekerja-pekerja McD seramai 12,000 ini sementara mereka mencari kerja yang setaraf? Datuk tak perlu bagi alasan kerana rezeki adalah daripada ALLAH SWT.

Duta Palestin di Malaysia, Dr Anwar al-Agha, berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan pekerja-pekerja McD yang mencari sumber pendapatan. Lagipun, maklumat-maklumat tentang syarikat yang berkait dengan keganasan Israel tidak semestinya tepat.

Adalah lebih baik, kata beliau, untuk memberi tekanan kepada Amerika kerana baru-baru ini ia telah menyumbangkan RM718.8 juta kepada ketenteraan Israel. Logik Dr Anwar lebih realistik.

Bila Pertubuhan Aqsa Syarif Malaysia pula ditanya mengapa tidak boikot syarikat-syarikat Amerika yang lain. Jawapannya ialah ia hanya boikot syarikat-syarikat yang menyumbang kepada ekonomi Israel. Maknanya, seorang yang boikot McD sebelah pagi akan rasa OK untuk beli tiket Hollywood sebelah malam.

Saya terbaca salah satu pos FB yang mengkritik APL ini dengan mengajak pembaca untuk bayangkan Amerika sebagai sebuah ‘syarikat’ yang besar. Bila kita gambarkan demikian dan Amerika sebagai sekutu Israel, maka kita nampak logik realistik Duta Palestin tentang memberi tekanan kepada Amerika.

Logik Aqsa Syarif bersifat selektif mengikut arus perdana media. Dr Hafizi telah memberi alasan mengapa Aqsa Syarif tidak masuk Starbucks dalam list boikot mereka kerana ia adalah ‘high-end product’ iaitu produk untuk mereka yang bergaji tinggi.

APL bukan sekadar bersifat selektif tetapi condong mengikut arus perdana umpama bila satu kelas pelajar perempuan menjadi histeria, kelas yang lain juga akan turut histeria. Jika media heboh tentang boikot McD, biasanya golongan APL akan juga heboh tentang boikot McD tanpa fikir lebih panjang.

Saya melihat APL adalah secara keseluruhan hasil dari pemikiran jangka pendek, tidak upaya untuk melihat dan merancang jauh. Ini mungkin menjadi salah satu sebab membawa kepada amuk jangka pendek yang bersifat ekstrem.

Bagi pendapat saya, berita yang dilaporkan tentang McD hendaklah lengkap dan terpulanglah kepada pengguna sendiri untuk membuat penilaian tanpa ancaman. NGO Islam tidak memberitahu pengguna-pengguna bahawa McD sendiri mengalami ancaman boikot di Israel.

Persoalan perlu kita tanya, “Adakah boikot McD ini salah satu lagi misdirection - perhatian kita dialihkan kepada isu McD supaya isu-isu lain terlepas pandang?”

Terdapat kerisauan yang serius tentang bakal tercetusnya Perang Dunia ke-3 dan jika tercetus, Malaysia terpaksa memilih siapakah sekutunya di antara kuasa-kuasa besar. Amerika yang bersekutu dengan Israel atau Rusia yang bersekutu dengan China dan Iran atau ada alternatif lain?

Apakah Orde Dunia Baru selepas Perang Dunia ke-3? Mungkin masa itu, Israel Zionis tidak ada lagi tetapi siapakah pula mafia yang baharu? Adakah kita memberi sokongan kepada produknya sehingga memberi kemenangan kepadanya dalam Perang Dunia ke-3?

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...