Monday, September 27, 2021

5962) KURANG 50 PERATUS PEMANDU TEKSI, E-HAILING DI JOHOR CARUM PERKESO - SINAR HARIAN - 26/09/2021

 

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor mendedahkan hanya 2,374 daripada 5,000 orang yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa di negeri ini melakukan caruman.

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, jumlah tersebut tidak sampai 50 peratus walaupun pihaknya sudah memperkenalkan caruman kepada mereka.

"Kita juga faham kekangan dan bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan caruman Perkeso," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Bersama Perkeso di Menara Perkeso Johor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Sumber Manusia Perkeso, Mohd Razmi Khalid, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ghazali Abd Rahman dan Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri.

Dalam perkembangan lain, Chuang berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.

"Daripada jumlah tersebut, lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti Covid-19," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Razmi berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pemandu untuk melakukan caruman bersama Perkeso.


Artikel oleh: Sinar Harian

KURANG 50 PERATUS PEMANDU TEKSI, E-HAILING DI JOHOR CARUM PERKESO

https://www.sinarharian.com.my/article/163538/EDISI/Kurang-50-peratus-pemandu-teksi-e-hailing-di-Johor-carum-Perkeso

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...