Wednesday, September 15, 2021

5933) HARGA AYAM NAIK, PPIM SYAK ADA KARTEL JADI DALANG - ISMAWEB - 14/09/2021

 

BANGI, 7 Safar 1443H, Selasa – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan terdapat kartel yang memanipulasi harga ayam di pasaran akhir-akhir ini.

Enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan sebaliknya berharap isu berkenaan ditangani sebaik-baiknya kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Dalam setahun, dua kali saya menerima rungutan daripada pengguna mengenai kenaikan harga ayam di pasaran dan terbaru, saya terima aduan harga ayam dipercayai naik kerana dedak dan bahan itu bukan saja mahal, tetapi sukar diperoleh di pasaran.

“Perkara ini sensitif untuk diulas lebih lanjut kerana saya pasti ada penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa cuma tidak pasti sejauh mana hasilnya. Saya mengesyaki ada kartel menjadi dalang,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Nadzim meminta pengguna tidak menuding jari kepada peniaga dan penternak saja sebagai punca kenaikan harga ayam di pasaran.

Ini kerana semua pihak, termasuk pihak berkuasa bertanggungjawab menangani isu berkenaan.

Pada masa sama, beliau menyarankan kerajaan dan pihak berkuasa mewujudkan satu polisi jangka panjang yang bukan hanya berupaya menstabilkan harga ayam di pasaran tetapi menjaga kepentingan semua pihak.

Menurutnya, pengguna juga perlu bijak membuat pembelian dalam menghadapi kenaikan harga ayam di pasaran.

“Jika harga ayam tinggi, cuba kawal dan kurangkan pembelian dengan mencari alternatif makanan lain. Seandainya permintaan kurang, harga ayam tentunya akan turun kerana ia berkait rapat dan pastinya nanti memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.


Artikel oleh: Ismaweb

HARGA AYAM NAIK, PPIM SYAK ADA KARTEL JADI DALANG

https://ismaweb.net/2021/09/14/harga-ayam-naik-ppim-syak-ada-kartel-jadi-dalang/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL