Wednesday, September 22, 2021

5944) BENAR INDIVIDU ENGGAN DIVAKSIN MASUK KE PREMIS, PPIM BERITAHU KERAJAAN - FREE MALAYSIA TODAY - 21/09/2021

 

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon kerajaan menyemak semula syarat kebenaran memasuki premis tanpa mengambil kira status vaksinasi.

Ia termasuk kebenaran memasuki tempat kerja, sekolah, rumah ibadat dan pusat membeli-belah tanpa mendiskriminasi individu yang tidak divaksin.

Ketua aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, suntikan vaksin Covid-19 tidak boleh dibuat secara mandatori ke atas semua rakyat kerana ia membatasi dan melanggar hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan setiap penduduk mengambil suntikan vaksin.

“Diskriminasi antara golongan yang telah divaksin dan golongan memilih untuk tidak divaksin akan melanggar Fasal 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan semua orang di sisi undang-undang.

“Sekatan terhadap golongan pekerja yang memilih untuk tidak divaksin daripada masuk-keluar tempat kerja juga melanggar hak pekerja untuk bekerja apabila Fasal 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama,” katanya pada sidang media berhubung memorandum yang diserahkan kepada semua Ahli Parlimen bertajuk “Isu paksaan dan keselamatan vaksin buatan baru Covid-19”.

Nadzim berkata, memorandum itu bertujuan menggesa Ahli Parlimen khususnya kerajaan mengkaji keputusan memaksa atau mewajibkan vaksin secara langsung kepada semua individu dewasa serta remaja sekolah, selain menghentikan diskriminasi kepada golongan yang belum divaksin.

“Mendesak semakan status pengambilan vaksin yang dihebahkan oleh Menteri Kesihatan sebagai tidak mandatori, tidak wajib dan adalah pilihan, namun semua tindakan daripada kementerian, majikan dan perniagaan kini kelihatan seolah-olah menghala kepada dua dos vaksin sebagai indikasi mandatori untuk masuk ke premis pekerjaan, ibadah, sekolah dan sebagainya.

“Kami juga memohon disemak semula syarat kebenaran memasuki pelbagai premis, tempat kerja, sekolah, rumah ibadat, pusat membeli-belah, tanpa diskriminasi status vaksinasi,” katanya yang akan menghantar salinan memorandum itu menerusi emel kepada semua Ahli Parlimen untuk perhatian lanjut.

Sementara itu, seorang panelis jemputan, pakar perunding histopathologi dan ahli statistik, Manimalar Selvi Naicker berkata, vaksin sedia ada yang diluluskan secara bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) hanya memberi imuniti efektif, bukannya imuniti steril.

“(Ini) bermakna mereka yang divaksin masih boleh dijangkiti pada tahap ringan atau tidak bergejala dan vaksin Covid-19 tidak boleh menghalang jangkitan dan penyebaran sepenuhnya.

“Itu pun imuniti akan berkurang dalam beberapa bulan selepasnya,” katanya yang mendakwa individu yang lengkap divaksin dan tidak divaksin mempunyai potensi sama dalam penyebaran Covid-19 jika dijangkiti.

“Jelas bahawa imuniti kelompok tidak boleh dicapai dengan vaksin sedia ada hari ini. Maka diskriminasi terhadap orang yang tidak divaksin adalah tidak berasaskan fakta saintifik,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang pengamal undang-undang, Zainuddin Abu Bakar berkata, individu yang berasa tertindas dan ditekan supaya menerima vaksinasi tanpa kerelaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

“Arahan wajib vaksin belum lagi dikuatkuasakan jadi mereka yang berasa tertindas boleh mengambil tindakan terhadap kerajaan dan PPIM sedia untuk bantu dari segi guaman,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengambilan vaksin Covid-19 mungkin diwajibkan jika masih ramai yang enggan menerimanya.

Ismail berkata, dibimbangi individu yang tidak divaksin boleh menjangkiti orang lain sedangkan keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan semua rakyat di negara ini terjamin.


Artikel oleh: Free Malaysia Today

BENAR INDIVIDU ENGGAN DIVAKSIN MASUK KE PREMIS, PPIM BERITAHU KERAJAAN

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/21/benar-individu-enggan-divaksin-masuk-ke-premis-ppim-beritahu-kerajaan/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL