Wednesday, September 15, 2021

5932) PPIM SYAKI ADA 'KARTEL' MANIPULASI HARGA PASARAN AYAM - HARIAN METRO - 14/09/2021


Kuala Lumpur: "Saya mengesyaki ada 'kartel' (memanipulasi harga pasaran ayam) yang menjadi dalang dan persoalannya sampai bila kita mahu membiarkan mereka terus mengaut untung?" kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Nadzim memberi reaksi itu berhubung isu kenaikan harga ayam di pasaran akhir-akhir ini yang dikatakan berlaku akibat masalah pemerolehan dedak untuk ternakan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan wujud pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi pasaran ayam di negara ini, sebaliknya berharap isu itu ditangani sebaik-baiknya kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama.

"Dalam setahun, dua kali saya menerima rungutan daripada pengguna mengenai kenaikan harga ayam di pasaran dan terbaru, saya terima aduan harga ayam dipercayai naik kerana dedak dan bahan itu bukan saja mahal, tetapi sukar diperoleh di pasaran.

"Perkara ini sensitif untuk diulas lebih lanjut kerana saya pasti ada penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa cuma tidak pasti sejauh mana hasilnya. Saya mengesyaki ada kartel menjadi dalang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nadzim juga meminta pengguna tidak menuding jari kepada peniaga dan penternak saja sebagai punca kenaikan harga ayam di pasaran, ini kerana semua pihak, termasuk pihak berkuasa bertanggungjawab menangani isu berkenaan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan dan pihak berkuasa mewujudkan satu polisi jangka panjang yang bukan hanya berupaya menstabilkan harga ayam di pasaran tetapi menjaga kepentingan semua pihak.

Menurutnya, pengguna juga perlu bijak membuat pembelian dalam menghadapi kenaikan harga ayam di pasaran.

Katanya, langkah mengehadkan dan mengurangkan kuantiti pembelian kemungkinan boleh membantu menurunkan seterusnya menstabilkan kembali harga ayam.

"Jika harga ayam tinggi, cuba kawal dan kurangkan pembelian dengan mencari alternatif makanan lain.

"Seandainya permintaan kurang, harga ayam tentunya akan turun kerana ia berkait rapat dan pastinya nanti memberi manfaat kepada pengguna," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

PPIM SYAKI ADA 'KARTEL' MANIPULASI HARGA PASARAN AYAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/754780/ppim-syaki-ada-kartel-manipulasi-harga-pasaran-ayam

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL