Friday, September 3, 2021

5917) ADAKAN RUNDINGAN DISKRIMINASI VAKSIN SEGERA! - PPIM - SAMUDERA.MY - 03/09/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mohon rundingan di peringkat kebangsaan penyelesaian diskriminasi ke atas rakyat yang belum menerima vaksin.

Ketua Aktivis PPIM menggesa kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sesi perbincangan melibatkan NGO, KKM, MOSTI dan agensi-agensi terlibat termasuk pakar perubatan dan pakar virus untuk membincangkan kaedah menangani isu rakyat yang didiskriminasi kerana tidak disuntik vaksin COVID-19.

“Di peringkat rakyat ada yang tidak dibenarkan masuk ke kedai, surau, rumah ibadah lain atau pusat membeli-belah kerana mereka tidak menerima vaksin,” katanya.

Nadzim mempersoalkan di manakah janji kerajaan yang sebelum ini menyatakan vaksin bukan sesuatu yang diwajibkan.

“Kini ada anggota tentera yang dilucutkan jawatan, pekerja tidak dibenarkan ke pejabat atau tempat kerja kerana menolak vaksin, adakah itu adil untuk mereka,” katanya.

Nadzim mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membincangkan perkara tersebut di peringkat rakyat.

“Rakyat yang menolak vaksin kerana tidak yakin dan yang tidak layak untuk vaksin seperti dianiaya sekarang, mereka seolah-olah tidak diberi pilihan,” katanya.

Tambah beliau, jika perkara ini berterusan tidak mustahil pasaran gelap akan mula menjual sijil vaksinasi palsu atau doktor perubatan yang menerima bayaran untuk menipu proses vaksinasi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata tindakan pemilik premis perniagaan menghalang pelanggan yang tidak divaksin daripada memasuki premis mereka adalah satu langkah diskriminasi.

“Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin telah menjelaskan vaksin tidak diwajibkan namun ia digalakkan untuk melindungi masyarakat dan komuniti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Redzuan berkata beliau bersetuju dengan penjelasan Khairy yang menegaskan vaksin COVID-19 tidak diwajibkan dan mereka yang tidak divaksin diharuskan membuat pemeriksaan kesihatan berkala.

Tambah beliau, kerajaan harus membuat satu polisi atau dasar berkenaan isu dibangkitkan oleh PPIM bagi memastikan kelestarian kehidupan rakyat tidak terjejas.

“Rakyat sama ada vaksin atau tidak perlu meneruskan kehidupan, perlu mendapatkan bekalan asas mereka, tindakan diskriminasi oleh pemilik premis perniagaan akan memburukkan keadaan dan menidakkan hak mereka untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Mohd Redzuan menegaskan, beliau mendokong dan bersetuju dengan apa yang sedang dilakukan oleh Khairy namun meminta satu penjelasan tentang pandangan kerajaan mengenai masalah diskriminasi yang sedang berlaku kini.

“Perkara sebegini hanya akan merugikan rakyat dan kerajaan.”

“Dan tidak mustahil akan berlaku penipuan dan rasuah melibatkan sijil vaksinasi jika perkara ini tidak diselesaikan segera,” katanya.


Artikel oleh: Samudera.my

ADAKAN RUNDINGAN DISKRIMINASI VAKSIN SEGERA! - PPIM

https://www.samudera.my/adakan-rundingan-diskriminasi-vaksin-segera-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL