JOHOR BAHRU: Tidak sampai 50
peratus individu yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan
seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa di negeri ini yang telah mencarum
dalam skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, daripada lebih
5,000 orang yang terlibat dalam perkhidmatan itu, hanya seramai 2,374 yang
telah mencarum.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut pula, hanya seramai 504
orang adalah pemandu teksi.
“Kita telah memperkenalkan caruman buat mereka yang melakukan
pekerjaan ini, namun setakat ini jumlah yang telah mencarum di Johor masih
rendah.
“Kita juga faham kekangan dan
bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang
mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat
berhubung kepentingan caruman Perkeso,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri
Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Bersama Perkeso di Menara Perkeso Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Cawangan
Dasar dan Strategi Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid; Pengarah
Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ghazali Abd. Rahman dan
Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri.
Sing Chuang memberitahu, sejak
pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, pihaknya telah menerima
lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi
mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut,
lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti
Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Razmi
memaklumkan, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya
golongan pemandu perkhidmatan awam untuk melakukan caruman bersama Perkeso.
“Keutamaan mereka ketika ini
adalah untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, seperti makanan harian
dan juga keperluan bagi persekolahan anak-anak mereka,” katanya.
Berhubung program tersebut,
Perkeso dengan kerjasama lima agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah
menyediakan 100 kotak makanan untuk diagihkan kepada pemandu teksi yang
terjejas di daerah ini.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
KURANG 50 PERATUS PEMANDU TEKSI, E-HAILING CARUM PERKESO
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/kurang-50-peratus-pemandu-teksi-e-hailing-carum-perkeso/
No comments:
Post a Comment