Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengagihkan sumbangan bernilai RM400,000 kepada mangsa banjir bermula hari ini.
Timbalan Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, misi bantuan pasca banjir itu mensasarkan mangsa di tiga negeri yang terjejas iaitu Johor, Pahang dan Kelantan.
Menurutnya, sumbangan berkenaan akan diagihkan kepada penerima menerusi tiga fasa yang dijangka mengambil masa selama 10 hari.
"Bagi fasa pertama bermula hari ini, kita bergerak ke Johor untuk mengagihkan sumbangan berbentuk mesin basuh, sabun mencuci pakaian, barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan pakaian.
"Sebanyak enam lori milik APM digunakan bagi mengangkut barangan berkenaan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di Kota Tinggi, Masai, Pasir Gudang dan Skudai," katanya ketika ditemui pemberita selepas program pelepasan misi bantuan pasca banjir di Pejabat PPIM di sini, hari ini.
Program pelepasan itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, menerusi misi bantuan itu pihaknya juga akan mendapatkan data usahawan yang terjejas akibat banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu mereka.
Katanya, DPMM akan berusaha membantu golongan terbabit melalui penyediaan latihan dan kursus selain memohon bantuan kerajaan.
"Kita berhubung rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), kementerian dan agensi berkaitan untuk memberi latihan, dana atau geran kepada usahawan terjejas.
"Kebanyakan mereka tidak faham dan tidak tahu cara mendapatkan bantuan, sedangkan bantuan itu ada disediakan," katanya.
Sementara itu, Roslan memuji usaha DPMM dan PPIM atas usaha membantu mangsa banjir.
"Seperti kita sedia maklum, mereka (mangsa banjir) bukan saja berdepan ancaman pandemik Covid-19 yang semakin teruk sekarang ini, tetapi juga bencana yang menyebabkan kehilangan harta benda.
"APM sentiasa mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mangsa banjir. Sebagai pasukan keselamatan, APM akan membantu melalui penyediaan logistik bagi memudahkan agihan kepada penerima di kawasan terjejas," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
MISI BANTUAN PASCA BANJIR DPMM, PPIM, APM KE TIGA NEGERI
No comments:
Post a Comment