Johor Bahru: Angkatan Pertahanan Awam (APM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus penambahan aset bagi memudahkan gerak kerja anggota khususnya operasi menyelamat dan menghadapi bencana alam di negara.
Timbalan Pesuruhjaya Operasi APM Norhafifi Ismail, berkata penambahan daripada segi kekuatan logistik itu diharap boleh diterima sekurang-kurangnya penghujung tahun ini secara berfasa amat penting terutama membabitkan aset bot, trak, ambulans dan pacuan empat roda.
Katanya, sehingga kini, APM mempunyai lebih 400 pengangkutan darat dan kira-kira 600 bot selain 5,000 kekuatan anggota keseluruhan bagi operasi pengurusan bencana banjir, berbanding hanya 3,800 kekuatan pada hari biasa.
"Aset sewaktu banjir dan Covid-19, ia adalah cabaran besar kepada APM disebabkan buat kerja menyelamat, pada masa sama perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kalau dahulu trak boleh muat 30 orang pada satu masa, kini sebab SOP, 15 sahaja yang boleh dimuatkan.
"APM sentiasa mengkaji perkara ini, dan akan salurkan kepada pihak kerajaan bagaimana aset ini boleh ditambah untuk membantu agensi ini khususnya melancarkan tindakan menyelamat.
"Apabila berlaku banjir di banyak negeri serentak, terpaksa menggemblengkan aset yang ada dari negeri lain yang tidak terjejas dengan bencana untuk digerakkan ke lokasi terjejas. Ada aset yang sudah uzur, rosak, dalam kita menggunakannya. Aset ini pun perlu diselenggara," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Misi Bantuan Pasca Banjir Johor di Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Dato' Onn, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon.
Norhafifi berkata, pada masa sama, aset ambulans milik APM turut digunakan bagi memudahkan pengurusan pesakit Covid-19.
"Kadang KKM memohon APM membantu menghantar mangsa Covid-19 yang positif. Jadi dengan panduan dan tunjuk ajar daripada KKM, kita gunakan SOP mereka untuk mengambil dan menghantar mangsa ke hospital sebagainya," katanya.
Pada program berkenaan, beliau berkata, inisiatif antara DPMM dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama APM itu akan membabitkan lokasi seperti Kota Tinggi, Sungai Tiram, Skudai dan Pasir Gudang.
Bermula semalam, sumbangan keseluruhan bernilai RM420,000 mula diagihkan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang dan Kelantan secara berperingkat, membabitkan barangan seperti mesin basuh, keperluan harian, sabun pakaian serta barangan kegunaan harian lain.
Artikel oleh: Harian Metro
APM PERLUKAN PENAMBAHAN 30 PERATUS KEKUATAN LOGISTIK [METROTV]
No comments:
Post a Comment