Kuala Lumpur: Pelbagai isu kepenggunaan akan dibawa kepada pertimbangan kerajaan tahun ini bagi memastikan masyarakat mendapat pembelaan sewajarnya.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, ketika ini banyak masalah kepenggunaan yang diketengahkan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Katanya, menjadi tanggungjawab pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib.
"Kita bekerjasama rapat dengan beberapa NGO lain kerana sampai masanya menyusun strategi untuk membantu pengguna bagi pelbagai isu.
"Amal Sejagat menerima banyak aduan mengenai penipuan komersil terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu, ini yang kita perlu selesaikan bersama," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan hari ini.
Beliau berkata, antara isu yang akan diberi perhatian adalah keldai akaun, ceti haram, perjanjian tidak sah, perumahan dan institusi kewangan.
Menurutnya, pihaknya akan terus membawa setiap masalah kepada kementerian atau agensi kerajaan dalam kadar segera sebagai pembelaan.
Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana NGO untuk memastikan isu pengguna dapat diselesaikan.
Katanya, sepanjang pembabitan di dalam segmen kepenggunaan lebih 20 tahun lalu, kerjasama erat antara pelbagai pertubuhan terbukti dapat menjadi pendesak dan ia perlu ditingkatkan.
"Kalau kita bergerak sendirian, berapa banyak yang boleh kita buat pun. Jadi kita kena bekerjasama bagi memastikan suara pengguna didengari dan masalah di atasi," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
BANTU MASYARAKAT SALUR MAKLUMAT KEPADA KERAJAAN
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/661724/bantu-masyarakat-salur-maklumat-kepada-kerajaan
No comments:
Post a Comment