Kuala Lumpur: Seramai 50 sukarelawan Rescue In Team Insan Sejahtera (Rintis) dari pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan serta masjid berlepas ke Chini membantu mangsa banjir hari ini.
Dikelolakan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, misi kemanusiaan itu menyasar mangsa banjir di sekitar kawasan itu yang terjejas teruk.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib berkata, pihaknya menggalakkan pengurusan masjid yang berkemampuan untuk membantu mana-mana misi bantuan.
"Jawi menerusi Jawi Food Bank akan memberikan kerjasama penuh kepada negeri-negeri terbabit dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri masing-masing," katanya selepas melepaskan konvoi berkenaan hari ini.
Hadir sama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Misi itu bertujuan memberikan bantuan awal kepada mangsa banjir serta bersolidariti bersama kesusahan dan beban yang menimpa mangsa.
"Ia juga adalah aktiviti tanggungjawab sosial korporat masjid kepada penduduk yang terkesan dengan musibah itu.
"Kita akan teruskan dengan menghantar dua pasukan ke negeri terjejas Sabtu ini untuk membantu, Insya-Allah," katanya.
Sementara itu Nadzim berkata, penyertaan badan bukan kerajaan dalam program seperti itu bukti keprihatinan semua pihak dalam membantu terutama mereka yang diberikan ujian.
Katanya, PPIM bersama rakan strategik juga tampil dengan inisiatif sendiri untuk bersama-sama agensi kerajaan mengumpulkan dana serta barangan untuk disumbangkan.
"Bila terjadinya musibah seperti ini, kita akan nampak di mana peranan yang boleh dimainkan. Dari situ, kita susun dan gerakkan," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
RINTIS BANTU MANGSA BANJIR
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/662760/rintis-bantu-mangsa-banjir
No comments:
Post a Comment