PEPATAH Melayu ada menyebutkan berat mata memandang, berat lagi bahu memikul yang memberikan pengertian kepada kita sekiranya ada orang melihat orang yang susah, kita akan berasa kasihan kepadanya namun orang yang ditimpa kesusahan itu lebih-lebih lagi merasakan kesusahannya.
Sekarang kebanyakan manusia seluruh dunia sedang menghadapi wabak penyakit Covid-19 termasuk kita sehingga perlu duduk di rumah untuk memutuskan rantaian penularan virus terbabit.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 216 bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu."
Walaupun ayat ini mengenai peperangan, tetapi kita boleh mengambil pengajaran daripada ayat ini yang mengajak supaya hamba Allah akur dengan ketentuan Ilahi seperti kita yang dalam kesulitan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam situasi hari ini umat Islam di Malaysia yang berpuasa dalam suasana PKP berasa sedih kerana kita tidak dapat berpuasa dalam keadaan sempurna.
Umat Islam di Malaysia hendaklah menggabungkan hati (perasaan), akal (fikiran) dan anggota badan (amal ibadah) untuk menjadikan Ramadan tahun ini luar biasa walaupun kita berada di dalam PKP.
Hati umat Islam di Malaysia perlulah tetap berasa seronok dan gembira dengan kedatangan Ramadhan setiap tahun walau apa keadaan sekalipun.
Rasulullah SAW pernah berkhutbah di akhir Syaaban sebagaimana disebutkan di dalam sahih Ibnu Khuzaimah: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang agung lagi diberkati, di dalamnya terdapat satu malam yang kelebihan beribadahnya lebih baik daripada seribu bulan, siangnya difardukan kamu berpuasa dan malamnya disunatkan kamu menghidupkan solat Tarawih...(sehingga akhir hadis)."
Melalui hadis ini bolehlah kita lihat bagaimana Islam menyuruh umatnya berasa gembira dan seronok dengan kedatangannya.
Begitu juga Rasulullah SAW menyuruh kita mengagungkan ibadah di dalamnya dan berasa ceria serta bersemangat ketika melakukannya.
Rasulullah juga ada mengaitkan ibadah puasa ini dengan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya adalah syurga.
Sekiranya kita hari ini berada dalam kesusahan dan kesusahan itu menuntut kesabaran, maka kita perlukan kesabaran yang tinggi.
Puasa memerlukan kesabaran dan kesusahan juga memerlukan kesabaran maka dengan yakin kita sebagai hamba Allah tidak akan mensia-siakan kesabaran kita malah dengan kesabaran yang tinggi ganjarannya juga pasti lebih hebat lagi.
Akal pula berperanan di bulan Ramadan ini bagi umat Islam yang berada dalam musim PKP ini perlu bijak mengawal emosi dengan fikiran yang sejahtera seperti kata pepatah Arab yang masyhur 'hati yang baik akan melahirkan pemikiran yang sihat.'
Maka setelah hati kita baik akal kita juga akan mengeluarkan aura pemikiran yang selamat bahkan kita lebih bijak menggunakannya sebab itu Baginda pernah bersabda, "fikirkanlah ciptaan Allah dan jangan memikirkan Zat Allah."
Justeru kita sebagai umat Nabi hendaklah memikirkan bagaimana hendak melahirkan suasana ceria, bahagia di dalam rumah dengan pasangan dan anak seperti melakukan kerja rumah bersama.
Contohnya ayah membantu ibu memasak, ibu bapa membantu anak-anak mengulang kaji pelajaran, bergurau senda bersama keluarga sambil bertukar-tukar fikiran sesama ahli keluarga serta menghidupkan suasana ibadah bersama dan sebagainya.
Selalunya apabila kita sebut ibadah puasa kita banyak menyentuh melakukan amal ibadah yang banyak dengan membaca al-Quran, solat sunat, bersedekah, tetapi kita kurang memerhatikan bahagian yang boleh membatalkan pahala puasa seperti mengumpat, hasad dengki, menipu, melaga-lagakan umat Islam dan lain-lain lagi.
Justeru itu, wahai umat Islam, kita bukanlah berpuasa sebab kita ingin berhari raya dan itu bukanlah matlamat yang sebenarnya.
Matlamat kita sebenar ialah supaya kita menjadi orang yang bertakwa di samping kita mencantikkan peribadi Muslim yang ada pada diri kita.
Oleh itu sebenarnya, umat Islam di Malaysia hendaklah melihat pada sudut positif, kitalah umat yang disayangi oleh Allah kerana Allah memilih kita supaya dapat melaksanakan ibadah Ramadan tahun ini yang luar biasa daripada sebelumnya.
Penulis adalah Pengerusi Persatuan Kebajikan An Nur Malaysia dan Penasihat Lajnah Dakwah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Artikel oleh: Harian Metro
JOM CANTIKKAN PERIBADI
No comments:
Post a Comment