Wednesday, April 22, 2020

5883) SUNTIKAN TIFOID PENIAGA MAKANAN EBAZAR RAMADAN WAJAR DIPERHALUSI - BERITA HARIAN - 22/04/2020

KUALA LUMPUR: Saranan dikuatkuasakan suntikan tifoid kepada peniaga makanan e-bazar Ramadan adalah langkah terbaik dalam mengekang penularan penyakit lain.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata amat penting kepada peniaga makanan untuk melalui satu proses menentukan produk yang dikeluarkan mematuhi syarat asas kebersihan demi kepentingan orang ramai.


Katanya, wujud sesetengah peniaga makanan yang kurang sensitif mengenai aspek kebersihan sebagai disiplin dalam kehidupan dan tidak menjadikan ia satu amalan.
“Asas kebersihan ini perlu dan suntikan tifoid ini dianggap sebagai satu langkah terbaik kerana ia dapat memberi pandangan kebersihan sebenar.
“Kebanyakan peniaga kurang menitikberatkan kebersihan yang mana bagi peniaga beragama Islam contohnya, mereka perlu memahami maksud suci, tetapi malangnya kebersihan itu sendiri pun diabaikan.
“Jadi untuk memastikan kebersihan itu menjadi keutamaan, kita kena sahut seruan kerajaan untuk menjadikan budaya baharu sebagai kebiasaan dalam kehidupan ini.
“Kebersihan ini sebagai satu asas untuk membina sebuah negara, contohnya seperti negara Jepun di mana rakyatnya mampu mendisiplinkan diri dalam kebersihan dan negara mereka maju,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, melalui kebersihan ini juga semua pihak dapat menjaga rantaian kehidupan antara masyarakat dan terjaga daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.
“Justeru sewajarnya tidak kira sesiapa pun, apabila menjadi peniaga makanan, kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan mengambil suntikan tifoid ini perlu.
“Kita mesti jaga kita dan semua orang mendapat kebaikan dalam budaya baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), berkata Mohamed Zamri Mohammed, berkata saranan suntikan tifoid dikenakan kepada peniaga makanan e-bazar sangat dialukan memandangkan ia antara perkara wajib bagi pengendali makanan.
Katanya, ketika ini, ramai peniaga kecil-kecilan akan mula mencari peluang menerusi e-bazar dan menjerumuskan diri dalam teknologi maklumat ini, namun dalam keadaan negara berdepan pandemik coronavirus (COVID-19) ini mungkin dilihat agak sukar untuk dilaksanakan serta mengambil masa bagi mendapatkan suntikan tifoid ini.
"Peniaga yang tidak pandai menggunakan aplikasi, mula belajar dan ia memberi satu rangsangan kepada mereka, namun kewajipan suntikan itu tidak boleh diabaikan juga
"Dalam masa yang sama, menerusi pelaksanaan peraturan baharu yang akan diwujudkan itu, kami mohon agar berilah sedikit kelonggaran kepada penghantar makanan untuk menjalani saringan kerana mereka belum bersedia.
"Selepas ini mungkin boleh diperhalusi semula. Tambahan pula kos untuk membuat saringan dan suntikan tifoid itu dianggarkan mencecah hingga RM300," katanya yang turut akan melancarkan platform Warung Digital bagi membantu peniaga makanan ketika Ramadan ini.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, peniaga yang sudah membayar wang pendahuluan untuk tapak bazar Ramadan, akan menerima wang mereka sehingga akhir bulan ini.
“Ini kerana kita turut mencadangkan supaya wang pendahuluan itu dibawa ke tahun hadapan dan tidak menyusahkan semua pihak. Namun terpulang kepada peniaga untuk menerima cadangan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, wang mereka akan dipulangkan sehingga akhir bulan ini mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian
SUNTIKAN TIFOID PENIAGA MAKANAN EBAZAR RAMADAN WAJAR DIPERHALUSI

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL