Friday, April 10, 2020

5860) ZULL DESIGN REKA TEROWONG PENYEMBUR SANITASI - MALAYSIA GAZETTE - 10/04/2020


KUALA LUMPUR – Syarikat pereka cipta peralatan berteknologi, Zull Design Autotronic (Zull Design) tampil dengan rekaan terowong penyembur sanitasi sebagai inisiatif penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat.
Terowong yang diberi nama Virus Buster Nano Spray itu berfungsi sebagai mesin penyembur yang dilengkapi cecair pembasmi kuman bagi membantu mencegah penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Eksekutif Projek Zull Design, Muhammad Asif Zulkifli berkata, dalam situasi sekarang, adalah penting orang ramai melindungi diri daripada dijangkiti wabak itu terutama golongan menjalankan tugas selaku barisan hadapan dan rakyat yang masih keluar berurusan di luar rumah.
“Satu daripada inisiatif kita buat adalah dengan mencipta terowong penyembur ini yang mampu memudahkan individu untuk menyahkan kuman di badan mereka dengan hanya melintasi di dalam terowong.
“Terowong ini amat sesuai untuk mereka yang keluar masuk di sesuatu tempat tanpa perlu lagi membawa cecair pembasmi kuman yang sekali gus memudahkan urusan dan tugasan harian,” katanya.
Pengunjung mencuba mesin sanitasi ‘Virus Buster Nanospray’ di Pasar Chaw Kit, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2020.
Beliau berkata demikian selepas program pemasangan Virus Buster Nano Spray di Pasar Raja Bot di Jalan Haji Hussein di sini hari ini.
Zull Design bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Critical Illness Support Group menaja terowong penyembur itu kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan PPPKMWP untuk diletakkan di laluan masuk ke pasar itu.
Muhammad Asif menambah, terowong itu dihasilkan menggunakan peralatan seperti keluli tahan karat, dinding aluminium dan alat pengesan automatik serta alat pelaras masa.
Jelas beliau, ia berjaya disiapkan dalam tempoh dua ke tiga hari sahaja dan dijual di pasaran pada harga RM12,500.
“Namun cecair anti kuman hanya disediakan syarikat pembekal lain dan kami boleh mencadangkan kepada pelanggan.
“Bahan cecair yang digunakan diyakini dapat menghapuskan hampir 100 peratus kuman yang melekat pada tubuh badan serta mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Sementera itu, Yang Di-Pertua PPKMWP, Datuk Mohamad Abdullah berkata, dianggarkan hampir 1,000 orang mengunjungi pasar itu setiap hari sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Jelasnya, jumlah pengunjung hanya berkurang 30 peratus kerana pasar itu masih menjadi tumpuan orang ramai kerana harganya murah dan barang segar.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah bercakap kepada media selepas hadir pemasangan mesin sanitasi ‘Virus Buster Nanospray’ di Pasar Chaw Kit, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2020
“Oleh yang demikian, PPPKMWP mengharapkan dengan adanya Virus Buster Nano Spray ini, ia dapat membantu mengawal penyebaran seterusnya menutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“PPPKMWP yakin sumbangan Zull Design ini sebagai inisiatif untuk meningkat tahap keselamatan dan kesihatan pelanggan serta peniaga di pasar ini nanti walaupun mereka tidak diwajib melintasinya.
“Dan selepas tempoh PKP ini berakhir, PPPKMWP turut bercadang untuk terus menggunakan terowong penyebur itu di pintu masuk Bazar Ramadan jika operasinya dibenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

ZULL DESIGN REKA TEROWONG PENYEMBUR SANITASI - MALAYSIA GAZETTE - 10/04/2020
https://malaysiagazette.com/2020/04/10/zull-design-reka-terowong-penyembur-sanitasi/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL