SHAH ALAM - Tindakan ceti haram atau ah long yang memegang kad pengeluaran wang automatik (ATM) peminjam bukan perkara yang menghairankan kerana ia menjadi antara modus operandi digunakan ah long sebagai satu bentuk cagaran.
Setiausaha Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Othman mengakui cagaran kad ATM adalah perkara biasa yang dilakukan ah long bahkan terdapat bentuk cagaran yang lebih tidak masuk akal dilakukan peminjam termasuk mencagarkan anak dan isteri.
Menurutnya, kerana itu apa sahaja sumber wang yang masuk ke akaun peminjam termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan diambil ah long.
"Dalam keadaan sekarang ini, ah long memang tidak ada perikemanusiaan. Memang tabiat ah long untuk mengutip hutang-hutang mereka jadi memang tindakan itu ah long akan buat..mereka yang mendapat bantuan dan terlibat dalam pinjaman ah long telah terikat, maka duit itu akan pergi ke ah long.
"Melainkan kalau mereka yang terlibat membatalkan kad dan bank keluarkan kad baharu maka ah long tidak boleh ambil wang tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas laporan media berkenaan lebih 50,000 peminjam ceti haram yang bakal berputih mata kerana kad ATM mereka dipegang ah long sebagai jaminan melunaskan pinjaman mereka.
Laporan itu antara lain turut menarik perhatian kerajaan agar membenarkan mereka yang terlibat menukar akaun yang berdaftar untuk pengagihan bantuan itu bagi membolehkan wang itu diterima oleh individu yang berhak.
Mengulas lanjut, Dr Maamor berkata, langkah penukaran kad ATM yang berdaftar dikhuatiri akan mengundang kemarahan ah long seterusnya mengundang kejadian yang tidak diingini.
Katanya, biasanya ah long akan ambil tindakan yang lebih ganas dan sanggup mencederakan peminjam jika mereka gagal mendapatkan wang.
"Ah long ni tiada perikemanusiaan, ah long akan pastikan peminjam dalam ketakutan sama ada dalam bentuk ugutan atau dimalukan dan sebagainya kerana ah long ni memang tak ada kerja lain kerana itu memang profesion dia. Kalau dia tahu kad tukar dia akan minta kad baru pula.
"Melainkan kerajaan atau pihak berkuasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat dengan pinjaman ah long...tapi agak sukar kerana kebiasaannya peminjam ah long ini memang sudah terikat dengan ah long," katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
CAGAR ANAK BINI KEPADA AH LONG: PPIM
No comments:
Post a Comment