Wednesday, November 13, 2019

5488) MEMBERI ERTI PADA BUY MUSLIM FIRST - SINAR HARIAN - 13/11/2019


BARU-BARU ini, sementara menunggu Zuhur, saya berbincang dengan beberapa rakan sekerja mengenai isu-isu keusahawanan Melayu.

Banyak masalah yang klise disebut sebagai antara sebab mengapa usahawan Melayu sukar meningkat maju. Alasan yang klise ialah pihak pemerintah tidak jalankan peranan mereka secekap dan secepatnya.

Soal bantuan, skim dan peluang diperkatakan. Hal-hal seperti modal, kecekapan mencium peluang, pengetahuan pemasaran, malah kecekapan kutipan daripada si pemiutang turut dibicarakan.

Bagaimanapun, kita sudah nampak kesungguhan sesetengah para usahawan Melayu untuk bergerak sendiri tanpa pergantungan total kepada pihak pemerintah. Ini adalah sekumpulan generasi baharu usahawan. Ramai yang sudah menjadi jutawan.

Kita mula merasai akan kehadiran mereka. Lazimnya juga golongan itu memberi tajaan pada setiap majlis yang pihak surau adakan. Bil-bil api dan air selalunya sudah mereka bayarkan secara senyap-senyap. Ramai dalam kalangan mereka yang menaja ahli qariah untuk menunaikan umrah, memberi sedekah kepada anak yatim, sekolah tahfiz malah mendirikan masjid.

Bagaimanapun, seandainya kita lihat secara makro, alangkah eloknya jika limpahan rezeki yang mereka peroleh itu dihimpun dalam sebuah dana yang diuruskan oleh sebuah badan amanah ekonomi.

Jika ada 100 orang jutawan Melayu yang mempunyai wang yang banyak ini mencurahkan pendapatan yang berlebihan bagi memajukan ekonomi orang Melayu, lebih ramai orang Melayu akan memperoleh manfaat daripadanya.

Kita masih bergegar dengan kempen Buy Muslim First (BMF). Ia merupakan gelombang yang membangkitkan semangat umat Melayu. Dalam media sosial, sokongan terhadap kempen itu begitu memberangsangkan. Namun, jika kita bertanya kepada diri kita sendiri, setakat manakah kita benar-benar cuba untuk menjadikan BMF itu suatu amalan yang mudah dilaksanakan?

Pada hari ini, apabila kita berniat untuk memilih sebuah produk Muslim, kita menghadapi kesukaran mencari kedudukannya di antara rak-rak di pasar raya. Jika kita menjumpainya pun, apakah kita teruja dengan jenamanya? Barangkali jika ia jenama yang popular, mungkin kita mudah memilihnya. Bagaimana jika kita mahu mencari sebuah jenama baharu untuk dicuba? Mungkin di situlah sendunya.

Saudara Azarul Hakim Ibrahim yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Hayib.com, marketplace siber berkata, bagi setiap kategori produk, pasti ada dua atau tiga produk Muslim. Misalnya, bagi minuman coklat popular, terdapat sekurang-kurangnya tiga produk Muslim. Begitu juga dengan lain-lain kategori produk.

Soalnya, bagaimanakah seseorang pengguna Muslim hendak mempraktikkan BMF jika dia belum jumpa produk itu? Jika bertemu pun, apakah dia berani mencubanya?

Tingkah laku pengguna adalah proses membuat keputusan secara peribadi. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mempengaruhinya untuk memilih sesebuah produk. Soalan di point of sales itu, apakah jenama yang telah bersarang di fikirannya? Di sinilah kelemahan produk Muslim. Banyak produk kita yang bagus, setanding malah lebih baik kualitinya. Tetapi ia tewas untuk bertakhta di minda pengguna.

Bagaimana pula jika jenama produk itu sentiasa bermain di fikiran pengguna hasil daripada kempen dan promosi besar-besaran pengeluarnya? Di aspek itulah kita perlu tingkatkan. Ramai pengeluar, meskipun menjual barangan yang laris tidak mempunyai modal untuk meningkatkan pengeluarannya ke tahap nasional.

Misalnya, serbuk kari yang terbaik hanya laris di Kangar, Sungai Petani dan Gerik. Susu kambing kurma yang berkhasiat hanya terkenal di Batu Pahat, Segamat dan Jasin. Mereka hanya terkenal di kawasan lokal. Modal untuk pemasaran melalui pengiklanan, itulah yang menjadi kekangan mereka.

Golongan itu ramai yang kaya raya. Tapi kaya raya untuk diri dan keluarga semata-mata. Namun, mereka sudah separuh jalan untuk menjadi jutawan. Mereka inilah yang perlu dibantu oleh 100 jutawan-jutawan Melayu yang rajin menderma itu. Beri mereka dana. Beri usahawan-usahawan yang belum jadi jutawan ini kecekapan untuk bermain di padang niaga yang lebih luas.

Oleh kerana mereka sudah separuh jalan menuju ke jalan kekayaan, mereka perlu dibantu secara ekspres. Kita perlu ada dana besar yang disertai bukan oleh golongan jutawan sahaja, tetapi oleh sesiapa sahaja yang menyokong BMF. Mungkin dana besar itu boleh diwujudkan dalam bentuk koperasi.

“Kita dah ada KoPPIM, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia yang diaktifkan kerana BMF!” kata rakan perbincangan saya, Coach Fadzil Hashim, Pendekar Ekonomi Melayu sebelum mengajak kami semua untuk ke surau.


Artikel oleh: Sinar Harian
MEMBERI ERTI PADA BUY MUSLIM FIRST

https://www.sinarharian.com.my/article/56941/KOLUMNIS/Memberi-erti-pada-Buy-Muslim-First

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL