Monday, November 11, 2019

5475) MENINGKATKAN PENDAPATAN, MENGURANGKAN KEMISKINAN - HARIAN METRO - 11/11/2019


BAGI mengatasi masalah kemiskinan terutamanya kumpulan B40, kerajaan melancarkan Program Sinergi Sosial dan Sistem MySynergy, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, objektif utama program itu adalah bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.
“Melalui sistem jaringan keselamatan sosial yang disediakan oleh berbagai kementerian, jabatan dan agensi dalam negara, Kerajaan akan memastikan rakyat khasnya daripada kumpulan B40 yang benar-benar memerlukan pertolongan tidak tercicir daripada senarai mendapat bantuan.
“Contohnya, individu yang tidak layak untuk menerima faedah PERKESO, akan dirujuk ke jabatan atau agensi lain yang boleh memberikan bantuan sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya ketika berucap di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
Menurutnya, program itu juga bakal mewujudkan horizon baharu dalam kualiti sistem penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan agensi penyedia manfaat keselamatan sosial di seluruh negara.
“Menerusinya juga, pertindihan penerimaan manfaat dapat dielakkan dan penyebaran manfaat dapat diagihkan hanya kepada yang benar-benar layak,” katanya.
Wan Azizah berkata, Program Sinergi Sosial dibina atas jaminan bahawa ia tidak akan menganggu akta, peraturan, dan dasar bagi agensi yang menyertainya.
“Sebaliknya, program ini secara tidak langsung boleh mengurangkan bebanan
tugas dan juga implikasi kehabisan dana beberapa agensi yang terbabit.
“Paling penting, program ini didaftarkan dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) selain
mendapat pengesahan hakcipta daripada Perbadanan Pengurusan Harta Intelek (MyiPO),” katanya.
Terdahulu, Kula dalam ucapannya berkata, program itu disertai oleh 17 rakan strategik PERKESO.
Antaranya adalah, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Giat Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBNS), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tekun Nasional, Malaysian Freelancer Association (MAFA), Islamic Relief Malaysia (IRM), Mental Illnes Awereness & Support Association (MIASA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

Artikel oleh: Harian Metro

MENINGKATKAN PENDAPATAN, MENGURANGKAN KEMISKINAN


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL