Thursday, November 14, 2019

5491) PANTAU KEGIATAN ANAK ELAK TERJEBAK BASIKAL LAJAK - HARIAN METRO - 14/11/2019


AMARAN yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak yang terbabit kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.
Oleh itu, ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak tanpa pengawasan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes kemalangan yang membabitkan basikal lajak sehingga meragut nyawa adalah salah satu contoh betapa pentingnya pengawalan ibu bapa terhadap anak-anak terutama selepas waktu persekolahan.
Tanpa pengawalan terhadap anak-anak, pastinya mereka mudah terpengaruh ajakan rakan serta mudah terbabit dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga dan mengambil tahu mengenai anak mereka sendiri.
Menurutnya, ibu bapa perlu menganggap anak mereka sebagai harta kerana ia aset mereka dan negara yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin yang menentukan masa depan negara.
Dalam Islam, anak-anak saham akhirat yang tidak ternilai kepada ibu bapa ketika di akhirat kelak.
Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebar luas, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya.”
Oleh itu, anak-anak bukan saja menjadi penyejuk mata dan kegembiraan berkeluarga kepada kedua ibu bapa ketika di dunia, malah bakal menjadi batu loncatan untuk mereka memasuki syurga Allah SWT di akhirat.
Al-Quran juga mengingatkan manusia mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak.
Dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
Ayat itu menjelaskan betapa ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak yang menjadi amanah daripada Allah SWT.
Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna selain pendidikan akademik terhadap anak-anak.
Hayatilah pesanan Imam al-Ghazali yang bermaksud: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.
Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu (ibu bapa).”
Justeru, ibu bapa harus memantau kegiatan anak-anak.
Jangan disebabkan alasan seperti sibuk bekerja, anak-anak diabaikan hingga mereka dipinggirkan hak untuk mendapatkan kasih sayang.
Penulis penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel oleh: Harian Metro

PANTAU KEGIATAN ANAK ELAK TERJEBAK BASIKAL LAJAK

https://www.hmetro.com.my/addin/2019/11/517035/pantau-kegiatan-anak-elak-terjebak-basikal-lajak

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL