Friday, November 29, 2019

5545) KERAJAAN TAK KUAT, RAKYAT PERLU GESA TANGANI PEMANDU MABUK - ISMAWEB - 29/11/2019


MUKADIMAH
SEJAK kebelakangan ini, kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain semakin menjadi-jadi.
Jun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.
Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.
Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat.
Bulan ini, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.
Walaupun kita sedia maklum tentang bahana arak, namun kerajaan masih belum mengeluarkan undang-undang untuk mengharamkan minuman memabukkan itu.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor memaklumkan tiada peraturan melarang orang ramai minum arak di tempat awam.
Ng Sze Han menegaskan, peraturan itu sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat Persekutuan atau negeri.
Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai perancangan untuk menggubal akta, bagi melarang orang ramai daripada meminum arak dan minuman beralkohol di tempat terbuka, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, kementerian itu tidak mahu mengganggu bidang kuasa pihak lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sekarang mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan meminum arak secara terbuka di sesetengah tempat.
Ikuti kupasan Ismaweb.net dalam wawancara khas bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Ismaweb.net: Sekarang ini banyak kes pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian, tetapi macam kurang dapat perhatian. Apa pendapat Datuk?
Datuk Nadzim: Ada orang kata, orang yang minum arak ini orang besar-besar seperti orang yang berpangkat besar dan berpengaruh.Ini kata orang mengikut kajian-kajian tertentu.
Jadi, mereka ini seolah-olah tidak tertakluk kepada undang-undang dan tidak memberi penekanan. Contohnya, rokok elektronik atau vape. Mereka beriya-iya kecam sahaja, tetapi berapa orang yang mati sebab vape? Ataupun orang hisap vape, lepas itu dia atau orang lain mati? Tiada lagi kan?
Tetapi kalau orang mabuk mereka buat benda tak betul, bergaduh, rogol, pukul. Jadi, ini yang kita pelik kenapa sampai jadi macam tu? Bukan kita nak menyokong vape pun.
Tapi kita pelik kenapa kumpulan ini terlibat, apabila kita dapat maklumat menyatakan banyak kes di ‘suppress’ supaya tidak jadi isu. Jadi, pasal apa nak pergi keluar, nak pergi ‘promote’ lagi. Arak ini bukan perkara main-main. Tiada sebab nak dipromosikan.Kalau macam itu, ‘promote’ lah vape.
Ismaweb.net: Jadi, isu pemandu ini tak dapat perhatian sebab dikuasai oleh orang berpangkat besar?
Datuk Nadzim: Ya, itulah kata orang. Maknanya ramai orang-orang lawyer ke, ada orang jenis kerja pejabat guaman. Jadi, sebab itulah penguatkuasa tidak timbul.
Ismaweb.net: Adakah hukuman terhadap pemandu mabuk ini terlampau longgar iaitu hukuman penjara sekitar 3 hingga 10 tahun sahaja. Pada pandangan Datuk, apakah hukuman yang wajar dilaksanakan terhadap mereka?
Datuk Nadzim: Nombor satu ialah kesedaran. Kalau tak sedar tak boleh buat apa juga. Jadi, kita nak bawa kesedaran bahawa arak ini tidak baik.
Kalau diiklankan hari-hari bermakna arak tu baiklah. Maknanya, kalau diikutkan agama mana-mana pun tidak menggalakkan arak.
Jadi pada saya, budaya ini tidak membawa kebaikan.Boleh merosakkan, boleh menyakitkan. Yang salahnya adalah saya memberi contoh, kalau seseorang itu hisap dadah, dia sendiri yang mati.
Tapi, kalau dia minum arak, dia langgar orang, orang lain yang mati. Baru-baru ini semalam (26 November 2019), kita ada satu kes seorang budak kena langgar lari. Dan orang yang melanggarnya dikatakan mabuk dan tidak dapat ditangkap.
Ismaweb.net: Sebelum ini negara Taiwan ada mencadangkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk, tetapi ia belum dilaksanakan? Pendapat Datuk?
Datuk Nadzim: Saya tidak mencadangkan hukuman mati lagi sebab kita belum tahu perkara sebenar. Kita perlu mengkaji sebaik mungkin.
Kita kena kaji tindakan undang-undang semasa dengan melihat keadaan.Contohnya, macam kita nak ikut Ireland yang tidak boleh keluar malam, maknanya kita ikut perkara baik. Sebab kalau kita bebaskan penggunaan arak ini, ada yang bergaduh dan mati.
Arak yang murah pun satu hal juga. Contohnya macam Myanmar datang sini pun bergaduh sesama sendiri, saya tak fikir ia bawa kepada kebaikan.
Yang vape tu kenapa huru-hara nak dilaksanakan undang-undang, sedangkan penggunaan vape itu, yang mati hanya yang hisap sahaja dan jumlahnya beberapa kerat sahaja.
Jadi, kalau kita lihat orang mati sebab arak ini, ya Allah jangan cerita la. Dia mati tak ada hal, orang lain juga mati sebab dia (peminum arak).
Ismaweb.net: Kes pemandu mabuk kurang dapat perhatian daripada Ahli Parlimen. Menteri-menteri pun tak bersuara. Sepatutnya mereka yang kena jadi kuasa pendesak rakyat marhaen.
Datuk Nadzim: Mungkin ramai daripada mereka yang minum juga. Ya, sepatutnya begitulah (jadi kuasa pendesak). Benda yang patut jadi tak patut kadang-kadang.
Sepatutnya tidak menandakan apa-apa, kecuali ada suara-suara yang kuat daripada media atau orang awam, barulah orang akan ambil perhatian.
Ismaweb.net: Selangor pernah memaklumkan tiada larangan minum arak secara terbuka. Macam mana tu Datuk?
Datuk Nadzim: Saya cadangkan buka di sekolah. Apa salahnya, benda yang baik untuk orang tua, budak-budak pun bersedia untuk minum arak. Apa masalahnya? Kalau nak minum tak kisah, gereja ke, boleh je minum.
Tapi saya cadangkan sekolah-sekolah. Sekolah antabangsa ke, cadangkan. Buat kempen lagi. Kalau elok, kempenlah.
Ismaweb.net: Sebelum ini Datuk pernah sebut ada individu bayar untuk tutup mulut pihak berkuasa isu pemandu mabuk ini. Siapa mereka ini?
Datuk Nadzim: Orang-orang yang sanggup bayar untuk kes-kes itu dilaksanakan mengikut keperluannya.
Jadi, kita dapat banyak aduan daripada operator ‘tow truck’. Tapi kes ini lepas je. Tak tahu apa mereka buat hingga lepas. Sebab kita kan biasa tengok mereka pergi tempat orang mabuk-mabuk dan bila sampai ke polis, kes itu selesai.Tak tahulah apa mereka buat.
Setakat ini, tak tahu lagi siapa yang bayar. Kita tak nampak tetapi benda ini biasa terjadi. Bukan setakat itu sahaja. Macam kes gaduh, kes macam itu memang banyak.
Ismaweb.net: Haramkan rokok boleh, tapi kenapa haramkan arak tak boleh. Apa pendapat Datuk?
Datuk Nadzim: Saya tidaklah menyokong rokok, tetapi saya tak nak orang ketiga rasa bahaya rokok. Kalau saya merokok dan duduk sebelah orang lain, orang itu terkena asap rokok bahaya juga. Rokok tak kisah. Kalau kita hisap, telan terus asap okay sahaja.
Ismaweb.net: Kerajaan pun tak dapat selesaikan isu ini. Jadi, apakah tindakan atau penyelesaian yang perlu dibuat oleh rakyat?
Datuk Nadzim: Mereka (kerajaan) kena bagi justifikasi. Apa sebab nak minum arak secara terbuka kecuali benda tu baik.
Ada ke bukti arak tu baik? Ada ke bukti arak tidak menyusahkan orang? Okay, saya bagi contoh vape.
Tiada pula kes penggunaan vape hingga menyebabkan langgar orang sampai mati. Tiada orang cedera, tiada orang kena rompak atau kena rogol, bergaduh beriya-iya hingga bertetak dan berparang.Dah otak tak betul.
Kita tak mahu dipengaruhi. Kalau kita dipengaruhi bermakna kita tidak dapat mengawal diri kita.
Kita sebagai rakyat kena buat gerakan. Tiada pilihan. Sebab kerajaan sendiri tidak kuat, takut, nak tekankan pun tak boleh.
Jadi, saya pelik kenapa ada manusia yang nak promosi barang tak baik? Kalau macam tu kenapa nak kawal pelacuran?Biar jelah. ‘Promote’ jelah.
Macam pelacuran di Belanda terang-terang buat, jadi ikutlah macam itu. Apa salahnya? Sedangkan arak boleh buat macam itu. Pelacuran tiada kes langgar orang.
Artikel oleh: Ismaweb
KERAJAAN TAK KUAT, RAKYAT PERLU GESA TANGANI PEMANDU MABUK

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...