KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan digesa membentuk satu polisi baharu berkenaan penetapan harga rumah di pasaran agar tidak terus membebankan rakyat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, harga rumah ketika ini adalah tinggi daripada harga pasaran dan perkara itu berlaku kerana wujud pemaju tamak yang mahukan keuntungan luar biasa.
Ujar beliau, polisi baharu berkenaan diharap dapat mengawal harga rumah sesuai dengan pendapatan rakyat dan menghindarkan daripada berlakunya penindasan.
“Pemaju membuat dakwaan palsu bahawa harga rumah naik disebabkan wujud permintaan yang tinggi, kita bimbang apabila pengguna terjerat membeli rumah pada harga tinggi masalah lain pula akan timbul seperti berlakunya muflis.
“Selain itu, saya berharap kerajaan membekukan dahulu sebarang bentuk projek perumahan di ibu negara, rumah yang ada pun sudah begitu banyak dan masih tidak terjual. Adalah lebih baik dibekukan sebarang pembinaan untuk dua atau tiga tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Portal The Edge yang memetik laporan Indeks Kediaman Bandar Raya Suku Ketiga 2018 oleh Knight Frank Global berkata, harga hartanah di Kuala Lumpur jatuh sebanyak 0.6 peratus daripada suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George menggesa kerajaan dan pemaju mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat yang boleh memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Katanya, perbincangan berkenaan penting bagi mencari jalan atau cara bagaimana kerajaan dan pemaju swasta dapat mengembleng tenaga bagi membantu rakyat yang mengimpikan memiliki rumah sendiri.
Artikel oleh : Utusan Malaysia
TAMAK PUNCA HARGA NAIK
No comments:
Post a Comment