Wednesday, December 26, 2018

4750) HARGA BARANG SEKOLAH : KERAJAAN PERLU CAMPUR TANGAN – SINAR – 23/12/18


SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berpendapat kerajaan perlu campur tangan dalam memastikan harga barangan persekolahan kekal relevan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mencadangkan kerajaan membeli barangan persekolahan secara pukal dan kemudiannya mengagihkan kepada sekolah di seluruh Malaysia.
Menurutnya, sekolah kemudiannya melalui koperasi dan kedai buku boleh menjual barangan tersebut kepada pelajar dan sudah tentu harganya lebih murah berbanding harga pasaran.
“Sebagai contoh, satu sekolah diagihkan setengah kontena barangan, itu sudah cukup banyak. Saya yakin, harga pun boleh menjadi cukup murah.
“Kita beli secara pukal tapi perkara sebegini, kerajaan saja boleh buat. Harga boleh jadi lebih murah.
“Kalau ambil banyak, saya rasa satu beg sekolah harganya mungkin dalam RM10 saja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerajaan juga boleh menggalakkan perniagaan di sekolah dengan melakukan perkara sedemikian.
“Untuk jangka masa panjang, mungkin kerajaan boleh main peranan. Dengan adanya bantuan kerajaan, saya rasa kita dapat mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nadzim mengakui terdapat pengguna mengadu kepada PPIM memaklumkan berlakunya peningkatan harga barangan persekolahan.
“Memang ada yang mengadu barang mahal tetapi bukan semua tempat harga mahal, ada juga tempat yang harganya munasabah tetapi orang tak tahu di mana,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna membuat kajian sebelum membeli barang dan berkongsi sekiranya mendapat tahu terdapat kedai menjual barangan persekolahan dengan harga berpatutan.
“Pengguna tak boleh nak harap orang jual dengan harga murah, peniaga tentu nak untung. Jadi, kalau kita buat kajian, pakat cari kedai murah dan kongsikan,” ujarnya.

Artikel Oleh : Sinar Harian
HARGA BARANG SEKOLAH : KERAJAAN PERLU CAMPUR TANGAN

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL