BARU-BARU ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma disemak semula dan kumpulan sasarnya hanya kepada golongan 40 peratus terendah (B40).
Pemberian air percuma 20 meter padu sebulan ini memanfaatkan 6.4 juta penduduk Selangor, sama ada penduduk asal negeri itu atau dari negeri lain yang menetap di negeri berkenaan.
Pada masa sama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, pula mengumumkan golongan isi rumah mewah yang mempunyai bil elektrik bulanan RM20 ke bawah perlu membayar bil berkenaan mulai bulan depan.
Katanya, ini sejajar dengan dasar kerajaan yang menetapkan hanya menyalurkan subsidi elektrik secara bersasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Dalam konteks ini, penyaluran subsidi bersasar hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.
Di negara kita, sebarang isu menyentuh kenaikan tarif, sama ada air dan elektrik sangat sensitif kepada rakyat dan mencetuskan polemik politik. Sebab itu, apa juga isu berkaitan dua bekalan berkenaan perlu diselesaikan secara segera dan bijak.
Walaupun pemberian air percuma dan bayaran elektrik bulanan RM20 ke bawah untuk golongan isi rumah mewah tidak membabitkan kenaikan tarif, ia turut menarik perhatian masyarakat.
Dari aspek kemampuan membayar bil elektrik kepada isi rumah mewah yang mencatatkan jumlah pada kadar RM20 ke bawah, ia sebenarnya bukan isu besar kerana golongan ini sememangnya mampu.
Hanya jumlah bil rendah kerana antaranya mereka jarang berada di rumah atau menjadikan kediaman sebagai persinggahan atau tempat beristirahat sahaja. Bagaimanapun, mereka tetap pengguna tenaga elektrik, tetapi masih mendapat subsidi yang sepatutnya hanya dinikmati oleh B40 dan golongan berpendapatan sederhana.
Justeru, pengenalan subsidi bersasar adalah tepat dan wajar dilaksanakan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menikmati kemudahan berkenaan.
Tidak hairan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong langkah kerajaan mengenakan bayaran kepada golongan isi rumah mewah yang mempunyai bil elektrik bulanan RM20 ke bawah.
Kurangkan beban
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan golongan isi rumah mewah ini tidak termasuk dalam golongan penerima subsidi kerana mampu membayar bil berkenaan tanpa bebanan.
Sebab itu mereka sewajarnya membayar bil berkenaan tanpa berfikir panjang kerana nilai RM20 sangat kecil bagi mereka yang berpendapatan besar.
Ini berbeza dengan keluarga berpendapatan rendah atau sederhana kerana keupayaan menjimatkan RM20 dapat mengurangkan tanggungan mereka walaupun jumlahnya kecil.
“Langkah ini akan memberi peluang kepada kerajaan untuk memberikan subsidi bersasar kepada golongan miskin dan miskin tegar,” kata Mohd Yusof.
Seperti FOMCA, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan kerajaan mewujudkan satu mekanisme baru untuk membantu kumpulan sasar berkenaan.
Mekanisme itu mencakupi penerimaan subsidi hanya kepada golongan yang layak, selain mereka yang memohon untuk diberikan pengecualian bayaran.
“Tiada siapa dapat mempertikaikan fakta, isu rumah mewah berkemampuan untuk membayar bil berkenaan dan ia akan membuka peluang kepada kerajaan menumpukan bantuan kepada golongan sasar,” katanya.
Banyak tanggunggan
Berhubung pengumuman Amirudin bahawa jumlah penduduk yang semakin tinggi di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma hanya diberikan kepada golongan B40, ia mengejutkan banyak pihak.
Ramai keluarga isi rumah golongan pertengahan (M40) tentu mengeluh kerana selepas ini mereka akan membayar bil air, sedangkan kos sara hidup terus meningkat.
Walaupun kadar berkenaan dianggap rendah bagi golongan berpendapatan besar, bagi berpendapatan pertengahan, khususnya keluarga yang berhijrah ke bandar, mereka biasanya banyak tanggungan lain.
Penulis sempat mengamati keluhan penduduk USJ 7, Subang Jaya yang hanya mahu dikenali Ali yang menurutnya pemberian air percuma dapat mengurangkan bebanan keluarga walaupun sedikit. Beliau berharap kerajaan Selangor sepatutnya meneruskan dasar itu.
Walaupun beliau dalam kategori golongan berpendapatan pertengahan dan keluarganya bukan B40, beliau terpaksa membayar tambang bas sekolah bagi tiga anaknya pada kadar RM120 setiap seorang sebulan.
“Saya cadangkan kerajaan Selangor memperkenalkan mekanisme bagi keluarga M40 yang banyak tanggungan dan mereka perlu dikecualikan daripada membayar bil air,” katanya.
Penduduk di Selangor ketika ini 6.4 juta orang berbanding ketika zaman pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menanggung 4.6 juta penduduk ketika pemberian air percuma 20 meter padu dilaksanakan.
Susun perbelanjaan
Mengambil kira ia subsidi bersasar dan kerajaan negeri perlu menyusun segala perbelanjaan, menyebabkan pemberian air percuma hanya disalurkan kepada golongan B40.
Satu lagi yang menjadi persoalan, bagaimana dengan golongan B40 yang tidak berdaftar dengan sistem e-Kasih? Adakah mereka akan terkeluar daripada senarai penerima air percuma yang akan menggunakan sistem berkenaan?
Untuk mengurangkan bebanan berikutan peningkatan kos sara hidup, mungkin golongan M40 terpaksa membawa bekalan makanan ke tempat kerja seperti berlaku di Jepun, Korea Selatan atau Amerika Syarikat yang terlalu asing dengan istilah makan tengah hari di luar ketika bekerja.
Justeru, bayaran bil kepada pemilik rumah mewah yang mempunyai bil RM20 atau ke bawah adalah wajar, manakala kerajaan Selangor perlu mencari mekanisme terbaik dalam menangani pemberian air percuma bagi memastikan golongan M40 tidak terpinggir.
Artikel Oleh : Berita Harian
ISU AIR, ELEKTRIK DEKAT DI HATI MASYARAKAT
No comments:
Post a Comment