Kuala Lumpur: Usia belum pun mencecah 20 tahun namun mereka direkrut sindiket ceti haram untuk menjadi konco pemungut hutang, penampal poster dan iklan serta kakitangan pejabat dengan tawaran gaji lumayan hingga mencecah RM10,000 sebulan.
Bukan itu saja, mereka juga hidup mewah berbanding rakan seusia lain susulan memeras ugut peminjam dan mengenakan kadar faedah tidak masuk akal.
Sejak tiga tahun lalu, 2,000 konco muda along dikesan aktif beroperasi di Lembah Klang termasuk bekerja sepenuh masa dengan syarikat pemberi pinjaman wang sebaik menamatkan zaman persekolahan.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Azman Kang berkata, menerusi rekod sedia ada, pihaknya mendapati semua remaja berkenaan menceburi kerjaya sebagai konco along dengan pelbagai gred jawatan bermula daripada penampal poster atau iklan sehingga menjadi tauke memungut hasil berjumlah ratusan ribu ringgit setiap bulan.
“Peringkat permulaan, mereka dibayar RM1,600 untuk menjadi balaci, maksudnya sebagai pekerja am iaitu menampal poster, iklan dan mengedarkan risalah dari rumah ke rumah serta kenderaan yang diparkir di pasar raya atau tempat awam.
“Dalam tempoh setahun, mereka dinaikkan pangkat menjadi operator menerima dan menjawab panggilan daripada peminjam serta dilatih bagaimana untuk berunding sehingga persetujuan dicapai,” katanya.
Azman berkata, mereka dijanjikan pendapatan lumayan serta ganjaran berdasarkan jumlah pinjaman dan kadar keuntungan selain ‘bonus’ jika dapat menetapkan faedah tinggi kepada peminjam.
Menurutnya, mereka tertarik dengan gaya hidup mewah hasil pendapatan sebagai konco along dan ia menjadikan jumlah konco muda along itu semakin bertambah setiap tahun.
Artikel Oleh : Harian Metro
KONCO MUDA ALONG MAKAN BERSEPAH
No comments:
Post a Comment