KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak berkuasa mengerahkan anggota keselamatan dan merayu agar rakyat bekerjasama memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Kami juga mahu siasatan menyeluruh, adil dan tindakan pantas oleh pihak berwajib,” kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan dalam kenyataan medianya pada Isnin.
“Kita tidak mahu sehingga rakyat mengambil tindakan di luar jangkaan akibat marah dengan kejadian ini,” katanya.
Menurut Nadzim, ia menjadi tanggungjawab seluruh warganegara membantu polis memberkas pembunuh Muhamad Adib.
Menurut Nadzim, Kejadian yang berlaku hampir sebulan lepas masih dalam siasatan polis, namun Muhammad Adib meninggal dunia tanpa sebarang berita berkaitan si pelaku yang dipercayai masih bebas.
Nadzim turut meminta pihak polis sentiasa memaklumkan laporan terkini kes sebagaimana kes besar yang maklumat terkininya mendapat liputan akhbar setiap jam oleh pihak polis.
“Kami mendapat panggilan dari rakyat yang marah atas kejadian ini, ” katanya.
Mengakui pemergian Muhammad Adib satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia dan Pasukan Bomba dan Penyelamat khususnya, Nadzim mahu semua pihak agar bersabar dan menghormati keluarga arwah.
“Walaupun kesal dengan hal yang berlaku, kami memohon semua pihak memberi kerjasama dan ruang agar pihak polis boleh menjalankan tugas mereka,” katanya.
Nadzim turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Muhammad Adib dan memohon agar seluruh rakyat Malaysia dan Kerajaan agar meringankan beban dan membantu dalam urusan keluarganya.
Pada 27 November lalu, Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya.
Media melaporkan, pihak pengurusan kuil menerima pampasan RM2.5 juta dan tanah seluas 0.4 hektar sebagai ganti untuk mengalihkan kuil.
Mahkamah turut memerintahkan kuil tersebut dipindahkan, namun pihak pengurusan kuil ingkar perintah mahkamah. –Sarawakvoice
Artikel Oleh : Sarawak Voice
PPIM MINTA PEMBERI MAKLUMAT BANTU POLIS BERKAS PEMBUNUH MUHAMMAD ADIB
No comments:
Post a Comment