Showing posts with label DATUK DR. JACOB GEORGE. Show all posts
Showing posts with label DATUK DR. JACOB GEORGE. Show all posts

Friday, January 18, 2019

4781) STABILKAN DAHULU HARGA BARANG KEPERLUAN – UTUSAN MALAYSIA – 18/1/19


PULAU PINANG 17 Jan. – KERAJAAN negeri seharusnya menstabilkan dahulu harga barangan keperluan rakyat yang mengalami kenaikan secara mendadak sebelum mencadangkan kenaikan tarif air sehingga 20 peratus lebih tinggi.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Siti Aminah Abdullah berkata, cadangan kenaikan tarif air itu ternyata meresahkan rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga barangan termasuk makanan serta minuman dijual penjaja kecil.
“Sepatutnya kerajaan ne­geri stabilkan harga barangan keperluan dahulu sebelum naikkan tarif air. Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di pihak yang sama tentunya tiada masalah untuk laksanakannya,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Siti Aminah, tidak mustahil harga makanan dan minuman akan dinaikkan jika tarif air di negeri ini dinaikkan.
Pandangan serupa disuarakan Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang percaya kenaikan tarif air tidak sesuai dilaksanakan pada masa kini kerana pengguna sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan sedia ada.
“Sebelum ini jika berlaku apa-apa kenaikan pastinya pengusaha kedai makan akan menaikkan harga makanan dan minuman di premis mereka.
“Pastinya selepas ini mereka menggunakan alasan sama untuk menaikkan harga makanan dan minuman jika tarif air dinaikkan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula menzahirkan rasa kesal de­ngan tindakan kerajaan dan mahu mereka berhenti membebankan rakyat.
“Baru lapan bulan jadi ke­rajaan mereka sudah buat pelbagai keputusan yang menyusahkan rakyat, tidak tahu apa lagi yang akan dinaikkan selepas ini.
“Ada yang keluarkan kenya­taan kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat, sedarlah itu kenyataan ‘syok sendiri’,” tegas beliau.

Artikel Penuh : Utusan Malaysia
STABILKAN DAHULU HARGA BARANG KEPERLUAN

Monday, December 31, 2018

4753) TAMAK PUNCA HARGA NAIK – UTUSAN MALAYSIA – 28/12/18


KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan digesa membentuk satu polisi baharu berkenaan penetapan harga rumah di pasaran agar tidak terus membebankan rakyat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, harga rumah ketika ini adalah tinggi daripada harga pasaran dan perkara itu berlaku kerana wujud pemaju tamak yang mahukan keuntungan luar biasa.
Ujar beliau, polisi baharu ber­kenaan diharap dapat mengawal harga rumah sesuai dengan pendapatan rakyat dan menghindarkan daripada berlakunya penindasan.
“Pemaju membuat dakwaan palsu bahawa harga rumah naik disebabkan wujud permintaan yang tinggi, kita bimbang apabila pengguna terjerat membeli rumah pada harga tinggi masalah lain pula akan timbul seperti berlakunya muflis.
“Selain itu, saya berharap kerajaan membekukan dahulu sebarang bentuk projek perumahan di ibu negara, rumah yang ada pun sudah begitu banyak dan masih tidak terjual. Adalah lebih baik dibekukan sebarang pembinaan untuk dua atau tiga tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Portal The Edge yang memetik laporan Indeks Kediaman Bandar Raya Suku Ketiga 2018 oleh Knight Frank Global berkata, harga hartanah di Kuala Lumpur jatuh seba­nyak 0.6 peratus daripada suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George menggesa kerajaan dan pemaju mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat yang boleh memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Katanya, perbincangan ber­kenaan penting bagi mencari jalan atau cara bagaimana kerajaan dan pemaju swasta dapat mengembleng tenaga bagi membantu rakyat yang mengimpikan memiliki rumah sendiri.
Artikel oleh : Utusan Malaysia
TAMAK PUNCA HARGA NAIK

Monday, October 8, 2018

4658) KPDNHEP GESA PENGGUNA BUAT ADUAN - UTUSAN MALAYSIA - 7/10/18



KUALA LUMPUR 7 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa orang ramai membuat laporan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas peniaga dan premis yang menjual barangan tiruan khususnya telefon pintar dan komputer riba.

Saranan itu dibuat Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman selepas pihaknya hanya menerima laporan dan aduan daripada syarikat cap dagangan walhal barangan elektronik tiruan itu dijual secara berleluasa kepada pengguna.

“Selepas menerima aduan, siasatan lanjut akan dilakukan sebelum tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan dikenakan ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan, manakala barangan tiruan akan dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Mingguan Malaysia berhubung penjualan gajet tiruan secara berleluasa di sekitar ibu negara selepas peranti itu diseludup masuk melalui beberapa pintu sempadan negara me­libatkan transaksi lebih RM200,000.

Mengulas lanjut, Iskandar Halim turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dan membeli barang elektronik di premis yang sah bagi mengelak ditipu serta mengalami kerugian.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berkala di premis-premis penjualan elektronik dan meminta justifikasi belian barangan yang diimport.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Perihal Dagangan 2011 supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan kepada pesalah.

‘‘Hukuman ringan berbanding keuntungan tinggi adalah antara punca peniaga berani menjual gajet tiruan secara terbuka,’’ katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George pula berpandangan, sindiket penyeludupan gajet membuktikan sempadan utara negara ini begitu terdedah kepada kegiatan kartel dan aktiviti jenayah antarabangsa.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
KPDNHEP GESA PENGGUNA BUAT ADUAN

Saturday, July 21, 2018

4564) KESAN BURUK TERHADAP GOLONGAN B40 – UTUSAN MALAYSIA – 20/7/18


KUALA LUMPUR 19 Julai – Cada­ngan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini dikhuatiri memberi kesan buruk terhadap golongan berpendapatan rendah atau B40 di negara ini.
Presiden Persatuan Peng­guna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kadar cukai 10 peratus yang bakal ditetapkan untuk pelbagai bara­ngan akan membebankan golo­ngan berkenaan.
Beliau turut berpandangan, kerajaan perlu bersikap lebih te­lus sebelum membuat keputusan dan mengadakan perbinca­ngan secara komprehensif dengan mana-mana jawatankuasa yang berkaitan.
“SST tidak seharusnya diwujudkan manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya perlu ditambah baik dan bukannya dihapuskan.
“Mungkin kadar cukai GST yang sebelum ini pada enam peratus dapat diturunkan pada dua atau tiga peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jacob mengulas gesaan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan PH untuk mengkaji semula cadangan melaksanakan semula SST yang didakwa boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan harus menitikberatkan mekanisme yang perlu diambil bagi membendung masalah kenaikan harga barang.
“Penguatkuasaan perlu giat dijalankan bagi memantau peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati dan pada masa sama, pengguna juga perlu memainkan peranan dalam membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” jelasnya.
Beliau turut meminta para peniaga bersikap jujur dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
KESAN BURUK TERHADAP GOLONGAN B40

Tuesday, December 29, 2015

2487) UTUSAN MALAYSIA - 29/12/15 - NGO PENGGUNA MINTA KERAJAAN LAKSANA PEMUTIHAN



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kerajaan diminta melaksanakan proses pemutihan terhadap pelajar-pelajar asing di negara ini terutama dari benua Afrika selewat-lewatnya tahun hadapan dalam usaha menangani gejala jenayah oleh golongan berkenaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, ketika proses pemutihan itu dilaksanakan, sebarang kemasukan baharu pelajar warga Afrika perlu dibekukan serta-merta.

Langkah itu jelas beliau, dilihat dapat membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang cenderung melakukan gejala jenayah untuk disiasat dan seterusnya dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Kita bagi kerangka masa setahun untuk proses pemutihan ini. Kita gunakan kerangka ini untuk menyiasat secara keseluruhan pelajar-pelajar Afrika ini.

“Jika kementerian memberi alasan kemasukan mereka memberi kesan positif terhadap ekonomi, saya rasa isu keselamatan adalah lebih penting dan sepatutnya diutamakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kebanjiran pelajar warga asing terutama dari Afrika yang dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah dan sosial termasuk sindiket African Hacker di negara ini.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, proses pemutihan itu juga perlu menyiasat universiti-universiti swasta yang terlibat menjadi dalang kemasukan sindiket penjenayah Afrika.

“Kita tidak mahu universiti ini hanya mahu buat duit sahaja sehingga sanggup menjadi dalang kepada kemasukan sindiket sebegini. Mereka juga perlu diputihkan,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sudah tiba bagi kerajaan mewujudkan satu pangkalan data melibatkan pelajar-pelajar Afrika tersebut.

Katanya, pangkalan data itu perlu melibatkan pelbagai kementerian berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendi­dikan Tinggi dan Kementerian Luar.

“Pangkalan data ini dapat memastikan hanya pelajar tulen dapat masuk ke negara ini selepas siasatan terperinci dibuat oleh kementerian-kementerian terlibat,” katanya.




PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL