Showing posts with label MOHD YUSOF. Show all posts
Showing posts with label MOHD YUSOF. Show all posts

Monday, October 8, 2018

4658) KPDNHEP GESA PENGGUNA BUAT ADUAN - UTUSAN MALAYSIA - 7/10/18



KUALA LUMPUR 7 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa orang ramai membuat laporan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas peniaga dan premis yang menjual barangan tiruan khususnya telefon pintar dan komputer riba.

Saranan itu dibuat Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman selepas pihaknya hanya menerima laporan dan aduan daripada syarikat cap dagangan walhal barangan elektronik tiruan itu dijual secara berleluasa kepada pengguna.

“Selepas menerima aduan, siasatan lanjut akan dilakukan sebelum tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan dikenakan ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan, manakala barangan tiruan akan dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Mingguan Malaysia berhubung penjualan gajet tiruan secara berleluasa di sekitar ibu negara selepas peranti itu diseludup masuk melalui beberapa pintu sempadan negara me­libatkan transaksi lebih RM200,000.

Mengulas lanjut, Iskandar Halim turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dan membeli barang elektronik di premis yang sah bagi mengelak ditipu serta mengalami kerugian.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berkala di premis-premis penjualan elektronik dan meminta justifikasi belian barangan yang diimport.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Perihal Dagangan 2011 supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan kepada pesalah.

‘‘Hukuman ringan berbanding keuntungan tinggi adalah antara punca peniaga berani menjual gajet tiruan secara terbuka,’’ katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George pula berpandangan, sindiket penyeludupan gajet membuktikan sempadan utara negara ini begitu terdedah kepada kegiatan kartel dan aktiviti jenayah antarabangsa.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
KPDNHEP GESA PENGGUNA BUAT ADUAN

Friday, December 29, 2017

4267) PENGGUNA PERLU ‘BANGKIT’ – UTUSAN ONLINE – 29/12/17





KUALA LUMPUR 28 Dis. - Menjengah masuk tahun baharu 2018, rakyat dinasihatkan ‘bang­kit’ memaksimumkan pe­­ranan sebagai pengguna dalam men­depani cabaran kenaikan kos sara hidup.
Perkara itu disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sedar apa diperkatakan beliau mungkin tidak disukai oleh segelintir rakyat, namun menegaskan perkara itu merupakan antara langkah terbaik menangani isu berkenaan.
Katanya, harga minyak naik atau turun, ekonomi baik atau tidak, harga barangan serta kos sara hidup tetap meningkat dan beliau berpegang kepada prinsip bahawa hanya kuasa pengguna mampu ‘melindungi’ rakyat da­ri­pada perkara itu.
“Setiap tahun akan lebih mencabar, tidak terkecuali tahun 2018 tetapi soalnya sama ada kita sebagai pengguna bersedia atau tidak? Kita tidak boleh lagi harap pihak lain atau kerajaan untuk menjadi pelindung.
“Kerajaan sendiri mengakui bahawa era kerajaan tahu semua benda telah berakhir. Jadi kuasa pengguna perlu diperkasakan, pengguna perlu bangkit daripada tidur, main peranan dan sua­rakan isu-isu kepenggunaan untuk menangani kenaikan harga barang yang menyebabkan kos sara hidup meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menjangkakan tahun 2018 berkemungkinan ‘menawarkan’ sedikit kelegaan berbanding tahun 2017 kepada pengguna dengan pelbagai insentif membantu rakyat diper­kenalkan kerajaan menerusi Bajet 2018.
Beliau bagaimanapun memberi fokus kepada satu isu iaitu mencadangkan kerajaan mengkaji mekanisme untuk menetapkan kadar harga minyak.
“Ketika ini, harga berada di bawah paras RM2.30, saya fikir, tekanan tidak begitu tinggi kepada rakyat, tetapi apa jadi sekiranya pada tahun depan kadarnya melepasi harga itu?” ujar beliau.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill pula percaya kerajaan akan cuba sedaya upaya membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai pengumuman pada pembentangan bajet Oktober lalu.
Tetapi, Amarjit tidak menafikan dalam landskap ekonomi dunia yang mencabar ketika ini, berkemungkinan situasi tahun 2018 tidak akan banyak bezanya dengan tahun ini.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PENGGUNA PERLU ‘BANGKIT’

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL