KUALA LUMPUR 19 Julai – Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini dikhuatiri memberi kesan buruk terhadap golongan berpendapatan rendah atau B40 di negara ini.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kadar cukai 10 peratus yang bakal ditetapkan untuk pelbagai barangan akan membebankan golongan berkenaan.
Beliau turut berpandangan, kerajaan perlu bersikap lebih telus sebelum membuat keputusan dan mengadakan perbincangan secara komprehensif dengan mana-mana jawatankuasa yang berkaitan.
“SST tidak seharusnya diwujudkan manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya perlu ditambah baik dan bukannya dihapuskan.
“Mungkin kadar cukai GST yang sebelum ini pada enam peratus dapat diturunkan pada dua atau tiga peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jacob mengulas gesaan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan PH untuk mengkaji semula cadangan melaksanakan semula SST yang didakwa boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan harus menitikberatkan mekanisme yang perlu diambil bagi membendung masalah kenaikan harga barang.
“Penguatkuasaan perlu giat dijalankan bagi memantau peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati dan pada masa sama, pengguna juga perlu memainkan peranan dalam membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” jelasnya.
Beliau turut meminta para peniaga bersikap jujur dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
KESAN BURUK TERHADAP GOLONGAN B40
No comments:
Post a Comment