Wednesday, July 18, 2018

4563) JADI PENGGUNA BIJAK – BERITA HARIAN – 18/7/18


Beliau berkata, penting untuk masyarakat melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan bagi mengelakkan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan melindungi hak-hak mereka sebagai pengguna.
“Sebagai pengguna yang bijak, kita mesti bersikap peduli dengan produk yang kita beli seperti ramuan digunakan, tarikh luput, maklumat pengilang dan pengeluar, malah sesetengah produk turut mempamerkan peringatan serta amaran.
“Sebagai contoh, bagi orang Islam, logo halal pada label atau produk makanan adalah sangat penting bagi mengenal pasti sama ada makanan itu boleh dimakan atau mempunyai campuran unsur yang haram seperti alkohol, lemak khinzir dan lain-lain,” katanya kepada BH Skor, baru-baru ini.
Pelabelan berupaya membantu pengguna daripada sebarang risiko penyakit dan sekiranya ada pengguna yang alah dengan kandungan tertentu, label boleh menjadi penyelamat dengan memberikan informasi atau panduan kepada mereka.
Menjelaskan lebih lanjut, Datuk Nadzim berkata, lebih membimbangkan, ada segelintir pengguna yang sebenarnya tidak faham dengan maklumat disampaikan pada label berkenaan kerana kebanyakannya menggunakan istilah saintifik yang kurang jelas dan meragukan.
“Sudah tiba masanya untuk pengeluar produk mengelakkan penggunaan istilah saintifik ringkas kerana menyukarkan pengguna memahami kandungan disampaikan pada label produk itu kerana kita khuatir kesannya boleh memudaratkan mereka terutama untuk jangka masa panjang.
“Pengguna perlu tahu fungsi sesuatu produk itu dengan menyeluruh, contohnya, bahan antibakteria khususnya mengandungi triclosan yang terdapat dalam produk seperti sabun, ubat gigi, gel mandian dan syampu boleh memberi kesan kepada pengguna dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Datuk Nadzim berkata, usaha memperkasakan ilmu kepenggunaan perlu diperluaskan seawal peringkat sekolah rendah kerana pendidikan awal ini dapat meningkatkan lagi kefahaman pelajar terhadap peranan dan tanggungjawab mereka untuk menjadi pengguna bijak
Beliau berkata, pihaknya turut berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat memperhebatkan lagi langkah memantau tahap kualiti serta keselamatan sesuatu produk, seterusnya mengelakkan berlakunya penindasan terhadap pengguna.
“Kadangkala terdapat produk yang meletakkan label ‘mengandungi kandungan dibenarkan, apa sebenarnya yang dibenarkan? Mereka (pengeluar) perlu bersifat telus dan jelas menerangkan kandungan produk itu kerana ini boleh menyukarkan pengguna membuat pilihan terbaik,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
JADI PENGGUNA BIJAK

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL