Tuesday, July 17, 2018

4562) 5 KELUARGA TUNTUT PEMBELAAN KEMATIAN AKIBAT PENGASUH – BERITA HARIAN – 17/7/18


KUALA LUMPUR: Seramai lima keluarga mendesak pihak berwajib mengambil tindakan terhadap tragedi menimpa anak mereka yang memerlukan keadilan dan pembelaan sewajarnya.
Semua ibu bapa berkenaan kehilangan anak selain ada yang mengalami cacat kekal sehingga kini akibat kecuaian pengasuh dan pusat jagaan.
Salah seorang mangsa, Siti Shahidah Sha’ari, 31, berkata, beliau kehilangan anaknya pada 12 Mac lalu akibat kecuaian pengasuh, namun sehingga kini tiada tindakan daripada pihak polis walaupun laporan sudah dibuat.
“Saya amat terkilan kerana tidak mendapat pembelaan sewajarnya, malah kematian anak saya seperti ada ‘tangan ghaib’ yang cuba menyembunyikan punca kematian.
“Saya sehingga kini tidak tahu apa punca kematian anak saya walaupun proses bedah siasat sudah dijalankan pihak hospital,” katanya pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Menceritakan kejadian, Siti Shahidah berkata, beliau dihubungi pengasuhnya mengatakan anaknya berada dalam keadaan lembik dan tidak bermaya.
“Saya kemudian ke rumah pengasuh sebelum menghubungi ambulans dan anak disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang.
“Walaupun laporan polis dan proses bedah siasat sudah dijalankan, tiada tindakan diambil oleh polis dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pegawai penyiasat,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) kerana merasakan pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan terperinci terhadap kematian anaknya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Siti Noorbaizura Kamarudin, 27, berkata beliau kehilangan anaknya, Abu Zea Ophelia Abu Naim yang berusia tujuh bulan pada 4 Januari lalu.
“Kejadian berlaku pada 29 Disember tahun lalu, saya dihubungi pengasuh mengatakan anak saya dalam keadaan tidak bergerak dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.
“Doktor memberitahu anak saya mengalami keretakan di bahagian kepala, namun apabila ditanya kepada pengasuh, dia hanya memberitahu anak saya mengalami sawan,” katanya.
Noorbaizura berkata, beliau kemudian membuat laporan polis bagi menjalankan proses bedah siasat terhadap anaknya.
“Polis ada mengambil keterangan saya di hospital, namun pada awal Julai lalu saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA.
“Perkara itu dimaklumkan lewat, itupun kerana saya sering mendesak dan bertanya berhubung perkembangan kes berkenaan. Pegawai penyiasat itu sering mengelak dan enggan menjawab sebarang pertanyaan sebelum dimaklumkan kes NFA,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
5 KELUARGA TUNTUT PEMBELAAN KEMATIAN AKIBAT PENGASUH

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...