KUALA LUMPUR 7 Julai – Laporan bahawa 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 1 Jun lepas, tidak boleh diterima.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Prof. Datuk Dr. Jacob George berkata, ini kerana hasil siasatan pihaknya di empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah mendapati bukan semua barangan mengalami penurunan harga yang drastik sepertimana didakwa.
“Jika laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah kajian yang dilakukan secara teliti dan hasil siasatan terperinci, maka saya mengalu-alukannya, namun setelah mengadakan perbincangan dengan akar umbi di empat negeri tersebut, saya diberitahu harga masih kekal dan hanya beberapa harga barangan sahaja telah turun.
“Jadi, kami mahu tahu apa cara yang telah digunakan oleh KPDNHEP. Penjelasan ini amat penting memandangkan ia telah memberi dua gambaran berbeza kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, harga penurunan barangan bergantung kepada tiga aspek penting lokasi, masa dan keadaan.
“Penurunan harga barangan ini bergantung kepada masa tertentu seperti potongan harga terhadap barang-barangan keperluan pengguna.
“Keadaan semasa juga menjadi faktor utama di mana penurunan harga ini berlaku di lokasi-lokasi tertentu yang melibatkan jumlah pengguna yang ramai,” katanya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
LAPORAN TIDAK BOLEH DITERIMA
No comments:
Post a Comment