KUALA LUMPUR 27 Mac – Akibat dikhianati pengadu dan serangan kecaman bertali-arus oleh masyarakat, Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi mengumumkan keluar daripada persatuan itu secara rasmi hari ini.
Yusuf berkata, keputusan itu dibuat selepas tidak tahan dengan lontaran tuduhan yang harus dihadapi sehingga membabitkan ahli keluarganya sendiri.
“Sudahlah tidak berterima kasih, anda khianati pula saya dengan membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.
“Selama empat tahun dalam PPIM, pelbagai rintangan telah saya lalui dan kini saya letih untuk teruskan perjuangan dalam PPIM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, keputusan Yusuf sama sekali tidak melibatkan konflik dalaman PPIM.
“Hari ini kita berhasrat merungkaikan segala desas-desus tentang kedudukan Yusuf dalam PPIM. Selepas mengadakan perbincangan secara positif, kita menghormati prinsip dan keputusannya walaupun kami semua berasa hiba,” katanya.
Sebaik sahaja mengumumkan pengunduran diri, Yusuf dilihat menangis dan memeluk Nadzim kerana tidak dapat menahan sebak.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
YUSUF TINGGALKAN PPIM
No comments:
Post a Comment