Wednesday, March 28, 2018

4419) CUKUP SAMPAI DISINI SAJA – HARIAN METRO – 27/3/18


TANDA tanya kedudukan Yusuf Azmi sebagai Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terjawab apabila mengesahkan tidak bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu lagi.
Yusuf, 28, berkata, dia mengundurkan diri kerana bosan dan kecewa dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh teman rapat dan mereka yang pernah dibantunya.
Menurutnya, tiada sebarang balasan dipintanya, namun tidak boleh menerima fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya.

Katanya, pada masa sama dia rasa sangat kecewa sehingga mendorong untuk membuat keputusan mengundurkan diri dari PPIM.

“Fitnah yang dilemparkan terhadap saya sehingga merosakkan imej saya amat memberi kesan, saya tidak boleh terima perkara ini.
“Selain itu, saya keluar dari PPIM bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga yang selama ini sering ditinggalkan untuk keluar berjuang bersama PPIM.
“Isu mengenai pergolakan dalaman juga tidak benar sama sekali, saya amat memandang tinggi Tokki (Datuk Nadzim Johan). Jika ada yang mengatakan ada perselisihan faham antara individu tertentu, ia kekal sebagai spekulasi sahaja,” katanya.
Yusuf berkata demikian dalam sidang media khas di ibu pejabat PPIM di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Yusuf berkata, dia akan memberi fokus kepada program bual bicara berbentuk santai bagi meneruskan perjuangannya.
Katanya, konsep bual santai atau tarbiyah itu akan dilakukan bagi meneruskan usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai kegiatan penipuan terhadap pengguna.
“Selain itu, saya merancang untuk membuka sebuah pusat perlindungan untuk kucing, di mana di pusat itu kita akan jaga kucing terbiar dan jika ada yang ingin mengambil untuk dibela, saya berikan secara percuma.
“Saya tidak mempunyai rancangan untuk membabitkan diri dalam politik, kalau ada yang berkata demikian, ia sama sekali tidak benar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Yusuf.
Katanya, dia mengharapkan keputusan yang dibuat itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Perjuangan kami akan diteruskan seperti biasa, dan Yusuf akan tetap menyelesaikan aduan yang diterima sebelum ini.
“Selepas ini akan ada rasa kosong setiap kali kami keluar untuk berjuang, tiada lagi sosok orang yang selalu tampil tanpa gentar untuk berhadapan dengan apa jua cabaran,” katanya.
Sebelum ini, timbul tanda tanya mengenai status Yusuf bersama PPIM yang disertainya sejak lapan tahun lalu selepas sebuah portal berita melaporkan Nadzim sebagai berkata, Yusuf tidak lagi terbabit secara langsung dengan PPIM pada 16 Mac lalu.
Yusuf dikatakan tidak sehaluan dengan gerak kerja NGO itu dalam memperjuangkan nasib pengguna.
Antara kes yang dikendalikan Yusuf sehingga ada yang menganggap aktivis itu sebagai wira dan ikon pengguna adalah serbuan ke atas premis pajakan kereta di Kajang, dan isu penipuan skim perumahan.
Yusuf juga aktif memperjuangkan gerakan perangi Along serta kegiatan penipuan gores dan menang.
Selain bertindak selaku Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf juga menjadi Ketua Sekretariat Persatuan Anak Muda Islam Malaysia dan Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia serta aktif dalam Gerakan Banteras Aktiviti Haram.

Artikel Oleh : Harian Metro
CUKUP SAMPAI DISINI SAJA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL