Thursday, March 29, 2018

4428) TINDAKAN AKTA PERLINDUNGAN PERIBADI TERHADAP AHLONG – UTUSAN MALAYSIA – 29/3/18


KUALA LUMPUR 28 Mac – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perlindungan Peri­badi 2010 terhadap ah long yang berani menyebar maklumat peribadi peminjam wang di laman sosial.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perbuatan menyebarkan kad pengenalan kepada umum itu jelas me­nyalahgunakan maklumat peribadi mangsa dan ia harus dikekang melalui tindakan mahkamah, membatalkan lesen serta membuat sekatan terhadap laman Facebooknya.
 “PPIM pertama kali mendengar kes seumpama itu berlaku di laman sosial dan mungkin itu adalah trend terbaharu kumpulan itu untuk menakut-nakutkan peminjam yang liat membayar hutang. Tidak wajar ah long tersebut membuat serangan seumpama itu kerana ia turut memberikan aib kepada mangsa.
“Saya harap pihak berkuasa dapat memantau serta mengenakan tindakan segera terhadap premis-premis pinjaman wang tidak berlesen ini agar perkara seumpama itu tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam di Kuantan, seorang lelaki berusia 57 tahun bukan sahaja terpaksa menanggung malu selepas kad pengenalannya ditularkan ke laman Facebook, malah diugut ah long selepas didakwa gagal membayar hutang.
Dalam pada itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menegaskan, ah long akan melakukan apa sahaja termasuklah menyebarkan maklumat peribadi serta gambar mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter serta Whatsapp demi menuntut wang yang dipinjamkan.
Menurutnya, mereka mungkin khuatir peminjam melesapkan wang berkenaan lebih-lebih lagi syarikat ah long tersebut tidak berlesen dan tiada sebarang perjanjian spesifik (hitam putih) dibuat antara kedua-dua belah pihak bagi proses pinjaman tersebut.
“Saya menggesa pihak berkuasa termasuk polis serta SKMM mengambil langkah drastik dengan mengesan dan membersihkan semua kegiatan ah long ter­babit di seluruh negara sebelum perkara lebih buruk berlaku pada masa akan datang,” tambahnya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
TINDAKAN AKTA PERLINDUNGAN PERIBADI TERHADAP AHLONG

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL