KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1439H, Selasa – Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi, hari ini secara rasmi mengumumkan mengundurkan diri daripada perjuangan NGO itu.
Pengumuman itu dibuat oleh Yusof sendiri dengan disaksikan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nazim Johan menerusi satu sidang media khas berlangsung hari ini.
Menjelaskan keputusannya itu, Yusof berkata, sebab utama dia mengundurkan diri adalah kerana bosan dan kecewa dengan pengkhianatan yang dilakukan teman rapat serta mereka yang pernah dibantunya.
“Saya berasa sangat kecewa sehingga mendorong saya membuat keputusan mengundurkan diri daripada PPIM.
“Fitnah yang dilemparkan terhadap saya sehingga merosakkan imej saya amat memberi kesan, saya tidak boleh terima perkara ini.
“Saya buat keputusan untuk tidak lagi bersama PPIM. Saya hanya akan memenuhi jemputan untuk ceramah dan sebagainya tetapi tidak untuk sebarang kes-kes aduan seperti yang saya lakukan selama ini. Saya tidak mampu untuk teruskan perjuangan dengan PPIM adalah kerana pengkhianatan yang berlaku.
“Saya mahu teruskan kehidupan seperti biasa fokus dengan perniagaan, serta meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Saya sudah ada perancangan untuk beri makan kucing. Bina penempatan untuk bela nasib kucing-kucing terbiar. Sekurang-kurangnya saya tahu kucing-kucing ini tidak akan gigit saya balik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan bahawa keputusannya itu adalah kerana masalah dalaman NGO.
“Isu mengenai pergolakan dalaman juga tidak benar sama sekali, saya amat memandang tinggi Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, jika ada mengatakan wujud perselisihan faham antara individu tertentu, ia kekal sebagai spekulasi saja,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, keputusan yang dibuat Yusof telah dibincangkan dan PPIM sedia menerima keputusan itu bagi menghormati permintaan Yusof.
“Yusof seorang budak yang degil. Macam mana dia degil untuk bantu orang lain walaupun dia sendiri terpaksa susah. Saya sudah pujuk pun dia tidak mahu. Namun PPIM sentiasa terbuka menerima Yusof sekiranya dia berubah fikiran nanti.
“Perjuangan kami akan diteruskan seperti biasa dan Yusof akan tetap menyelesaikan aduan diterima sebelum ini,” katanya.
Antara kes yang mendapat liputan besar dikendalikan Yusof adalah serbuan ke atas premis pajakan kereta di Kajang dan isu penipuan skim perumahan.
Beliau juga banyak memperjuangkan gerakan menentang ‘Ah Long’ dan kegiatan penipuan gores serta menang.
Artikel Oleh : ISMAWEB
YUSOF AZMI UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA PPIM
No comments:
Post a Comment