KUALA LUMPUR 28 Mac – Seramai 23 orang pemilik tanah di Sungai Bakau, Rawang telah menerima arahan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk keluar daripada tanah yang telah diterokai mereka sejak tahun 1993. Malahan, pihak mahkamah turut mengenakan denda sebanyak RM20,000 kepada setiap pemilik lot tanah kerana didakwa tinggal di tanah tersebut secara haram.
“Perubahan pelan tanah pada asalnya berbentuk hutan bakau dan kami terokai, bina rumah disitu tiba-tiba muncul seorang individu mengaku tanah itu miliknya” keluh salah seorang wakil penduduk, Muhammad Bin Ismail berusia 66 tahun. Malahan, sejak tahun 2000 lagi, pemilik tanah telah membuat permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor. Namun, permohonan tanah tersebut berjaya diperolehi oleh individu lain diatas hak perseorangan.
“Kita merasa ada yang tak kena kerana mahkamah buat keputusan berdasarkan fakta yang diberi, persoalannya adakah fakta itu betul?” soal Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan @ Toqqi pada sidang media yang berlangsung di Pusat Aktivis PPIM, Villa Puteri kira-kira jam 12 tengahari.
Nadzim menjelaskan bahawa PPIM sendiri melalui beberapa Aktivis akan membawa kes penindasan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneliti dokumen dan menjalankan siasatan terperinci.
“Kami akan membawa kes ini ke SPRM untuk siasatan lanjut dan meminta penjelasan pihak berkaitan yang menggugat hak penduduk selama ini.” Kesemua pemilik tanah merasa tertindas dengan tindakan pihak mahkamah dan membantah secara aman terhadap rampasan tanah tersebut setelah 4 kali mengemukakan surat kepada Menteri Besar Selangor dalam tempoh 2 bulan bermula 14 Februari 2017. Namun hanya menerima jawapan pada 4 April 2017 meminta kesemua penduduk untuk merujuk kepada Pejabat Tanah Gombak.
No comments:
Post a Comment