SEKURANG-kurangnya 20,000 individu yang diisytiharkan muflis bakal bebas daripada senarai bankrap menjelang akhir 2018 manakala 50,000 kes akan diselesaikan dalam jangka masa lima tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan dengan institusi kewangan yang terbabit akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Lebih 53 peratus penjamin sosial berada dalam senarai muflis dan kerajaan akan mencari penyelesaian untuk membantu mereka agar mampu menikmati kelangsungan hidup tanpa sekatan.
“Isu muflis disebabkan sikap berhutang yang tidak dapat diselesaikan,” katanya pada Forum Pengguna Islam Malaysia ke-7 2017 di Menara Felda, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan dana bantuan sebanyak RM500,000 kepada PPIM.
Katanya, dana itu bertujuan menggerakkan PPIM agar membantu pengguna Islam yang tersepit dan dianiayai disebabkan pinjaman along dan perjudian dalam talian.
Sementara itu, PPIM menerusi Resolusi Forum Pengguna Ke-7 menggesa agar kerajaan lebih terbuka dalam mendengar aduan rakyat dan menuntut agar diberikan satu kerusi Senator dalam Dewan Negara.
Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu kerusi Senator untuk PPIM menjadi wakil kepada suara pengguna di Parlimen bagi memudahkan kerajaan menilai sendiri kemampuan pengguna.
No comments:
Post a Comment