Artikel Oleh : Metro Online
Tajuk : Longkai Makin Naik Lemak
Tajuk : Longkai Makin Naik Lemak
MEMAKSA mangsa kemalangan menurunkan tandatangan kebenaran, mengenakan caj yang tinggi serta mengugut untuk tidak memberikan apa-apa bantuan kecuali menerima upah.
Ia antara aduan mengenai sikap pemandu trak tunda atau longkai yang menimbulkan masalah kepada mangsa yang diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang semakin meningkat sejak awal tahun lalu.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa akan didatangi segelintir individu mahu pun berkumpulan yang lebih dikenali sebagai longkai bersikap agak keterlaluan dengan memberi penjelasan kurang jelas serta meletakkan syarat ‘sendiri’.
“Kita terima banyak aduan dan ia satu kegiatan yang amat ketara dari segi menekan pengguna. Walaupun mangsa tidak menghubungi longkai itu, mereka akan bersikap keterlaluan dan memaksa mangsa untuk mengaut keuntungan bagi satu-satu tuntutan kemalangan.
“Pemandu dan pemilik akan dipaksa untuk menandatangani surat kuasa kepada mereka bagi menunda kenderaan sehingga ke balai polis seterusnya ke bengkel,” katanya dalam sidang media hari ini.
Hadir sama Penasihat Khas PPIM Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed dan Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie.
Nadzim berkata, terdapat kes di mana pemandu atau mangsa kemalangan yang berubah fikiran untuk tidak berurusan dengan sesuatu bengkel, dipaksa membuat bayaran yang tidak munasabah mencecah ribuan ringgit.
Lebih mengejutkan katanya, PPJK pernah menerima beberapa aduan yang membabitkan perebutan di antara longkai untuk menunda kenderaan yang terbabit kemalangan dengan mendakwa bahawa mereka sampai awal dan berhak ke atas kereta itu menyebabkan mangsa tidak boleh berurusan dengan bengkel lain.
“Ada di antara mereka bertindak seperti samseng dan memaksa mangsa. Malahan, ada juga kes yang membabitkan pergaduhan antara pesaing longkai itu sendiri.
“Mereka bertindak agresif serta menganggap pesaing yang tiba di lokasi kemalangan yang sama pada waktu sama menceroboh kawasan longkai terawal yang tiba di lokasi terbabit,” katanya.
Justeru PPIM menggesa tindakan segera diambil pihak berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa dengan tindakan longkai yang ingin mengaut untung mudah.
No comments:
Post a Comment