Artikel Oleh : SINAR
KUALA LUMPUR – Seramai 35 individu dengan nilai kerugian mencecah RM1.6 juta, mendakwa dianiaya agensi pelancongan yang bertanggungjawab menguruskan visa ibadat itu ketika mendaftar mengerjakan haji bagi tahun 1438 Hijrah (2017).
Mereka mendakwa, ditipu agensi pelancongan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggunakan alamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, melalui pakej haji orang kenamaan (VIP).
Menurut mangsa, mereka sepatutnya berlepas ke tanah suci pada Ogos lalu, namun semuanya terkandas disebabkan masalah visa dan tiket penerbangan.
“Kami cadangkan kerajaan melakukan kawal selia pakej haji daripada swasta yang kononnya menggunakan visa khas, Furada.
“Kerajaan juga perlu hentikan pakej haji melalui visa yang tidak dikawal Tabung Haji (TH) bagi mengelak penipuan. Perlu ada penyelarasan, siapa sahaja yang nak pergi haji, apa jenis visa sekali pun kena selaras. Perlu juga ada suruhanjaya kawal selia haji,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Hadir sama, wakil PPIM dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), Dr Mazlina Abu Bakar.
Nadzim berkata, sudah tiba masanya diwujudkan badan penyelarasan bagi mengelak perkara itu berulang.
“Kita cadangkan dipertimbangkan wujudkan insurans kepada pakej mangsa.
“Sekurang-kurangnya walaupun mereka tidak dapat pergi menunaikan haji, tapi duit dapat balik,” katanya.
Sementara itu, Mazlina berkata, siasatan awal mendapati agensi terbabit tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji (PJH) dan lesen umrah.
“Syarikat ini mempunyai lesen IOT dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tetapi tidak lulus permohonan lesen khas umrah (LKU) kerana ada kes jemaah terkandas.
“Mereka menawarkan visa haji Furada pada harga bermula RM45,500,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan pakej haji melalui visa khas Furada oleh syarikat swasta itu tidak dikawal selia.
“Sepatutnya pakej haji melalui visa khas Furada perlu dikawal selia TH atau MKSU seperti umrah,” katanya.
Pada sidang media sama, kira-kira 20 mangsa hadir dan sehingga kini, 17 laporan polis telah dibuat oleh mereka.
Sementara itu ketika dihubungi, pemilik syarikat terbabit menafikan dakwaan berkenaan.
Enggan mendedahkan nama, wanita itu berkata, wujud unsur sindiket penipuan melibatkan pihak menguruskan jemaah haji dalam kes itu.
“Saya nak tanya mereka (kumpulan terbabit), tiket ada visa ada, kenapa tak mahu pergi, sedangkan tujuh daripada mereka boleh berangkat ke tanah suci?,” katanya.
Bimbang keadaan lebih buruk wanita itu berkata, laporan polis juga telah dibuat pada 28 Ogos lalu.
“Saya usahakan 40 tempat bersama penerbangan Saudi Airline dan berjaya bawa 14 jemaah menunaikan haji pada waktu itu,” katanya.
MANGSA 1
Ada visa tapi tiada tiket
Norlin Ismail dan suami turut mengalami nasib sama.
“Kami dapat visa dari TH tapi tidak ada tiket penerbangan, jadi macam mana nak pergi?
“Kami tertarik dengan pakej tersebut kerana setiap program penuh dengan pengisian, jemaah akan sentiasa bersama mutawif,” katanya kecewa.
MANGSA 2
‘Saya rugi RM226,200’
MANGSA, Mohd Noor Ibrahim berkata, dia kerugian RM226,200 untuk pakej empat individu terdiri daripada anak dan menantunya.
“Syarikat terbabit sehingga kini gagal dihubungi. Anak saya masukkan RM100,000 dua kali pada 20 dan 22 Jun lalu ke dalam akaun syarikat terbabit.
“Kami sepatutnya berlepas pada 27 Ogos lalu. Kami ada visa tapi tiada penerbangan dengan Saudi Airline,” katanya.
Menurutnya, faktor menyebabkan dia dan keluarga percaya syarikat itu kerana diberitahu pemiliknya boleh menguruskan pakej haji VIP pada Ogos lalu menggunakan visa khas.
MANGSA 3
Bermasalah dengan penerbangan
MANGSA, Shah Suleiman dan pasangan menanggung kerugian kira-kira RM114,000.
“Tiket penerbangan kami dari KL ke Dubai tak ada, tapi Dubai ke Jeddah ada, malah sejumlah wang daripada akaun TH juga dikeluarkan,” katanya.
Isterinya, Khalisa Khalid (bukan nama sebenar) berkata, dia dan suami membuat keputusan menggunakan pakej visa Furada kerana rayuan mengerjakan haji bersama TH ditolak dalam beberapa kali.
“Selepas rayuan di TH ditolak, kawan cadangkan guna pakej Furada, “katanya.
No comments:
Post a Comment