NADZIM JOHAN

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pengiktirafan halal tidak patut diberikan kepada syarikat yang menghina dan melakukan diskriminasi terhadap orang Islam kerana tindakan itu boleh disamakan dengan mereka yang membunuh masyarakat Rohingya Islam.
“Lebih-lebih lagi hotel tersebut sebenarnya banyak mengaut keuntungan daripada sijil halal apabila diberikan pengiktirafan untuk orang beragama Islam datang dan mendapatkan perkhidmatan me­reka.
‘‘Adalah tidak masuk akal apabila sijil halal yang amat diambil berat oleh orang Islam diberikan kepada syarikat yang mempersendakan Islam serta membiarkan mereka terus mendapat manfaat daripadanya,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pe­ngerusi Persa­tuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH), Samuel Cheah Swee Hee menyatakan, terda­pat rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian uniform tanpa tudung di semua rangkaian hotel mereka di seluruh negara.
Kenyataan itu mendapat reaksi Men­teri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menegaskan, pihak yang mengamalkan polisi tersebut adalah kurang ajar dan ternyata tidak bertanggungjawab kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Nadzim berkata, PPIM dan beberapa gabungan NGO Islam bersepakat untuk meminta Jakim menarik semula sijil halal hotel tersebut dan meminta orang ramai membantu untuk memberikan maklumat.