Showing posts with label FORUM PENGGUNA PPIM 2017. Show all posts
Showing posts with label FORUM PENGGUNA PPIM 2017. Show all posts

Tuesday, November 7, 2017

4209) 20,000 BAKAL BEBAS DARIPADA BANKRAP – HARIAN METRO – 4/11/17


dr_cropped_1509800263

SEKURANG-kurangnya 20,000 individu yang diisytiharkan muflis bakal bebas daripada senarai bankrap menjelang akhir 2018 manakala 50,000 kes akan diselesaikan dalam jangka masa lima tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan dengan institusi kewangan yang terbabit akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Lebih 53 peratus penjamin sosial berada dalam senarai muflis dan kerajaan akan mencari penyelesaian untuk membantu mereka agar mampu menikmati kelangsungan hidup tanpa sekatan.
 “Isu muflis disebabkan sikap berhutang yang tidak dapat diselesaikan,” katanya pada Forum Pengguna Islam Malaysia ke-7 2017 di Menara Felda, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan dana bantuan sebanyak RM500,000 kepada PPIM.
Katanya, dana itu bertujuan menggerakkan PPIM agar membantu pengguna Islam yang tersepit dan dianiayai disebabkan pinjaman along dan perjudian dalam talian.
Sementara itu, PPIM menerusi Resolusi Forum Pengguna Ke-7 menggesa agar kerajaan lebih terbuka dalam mendengar aduan rakyat dan menuntut agar diberikan satu kerusi Senator dalam Dewan Negara.
Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu kerusi Senator untuk PPIM menjadi wakil kepada suara pengguna di Parlimen bagi memudahkan kerajaan menilai sendiri kemampuan pengguna.

4206) KERAJAAN SASAR 50,000 INDIVIDU MUFLIS KELUAR DARI STATUS BANKRAP – WARTADAILY – 4/11/17



KUALA LUMPUR, 4 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak Kerajaan menyasarkan untuk membebaskan kesemua 50,000 individu muflis daripada status bankrap dalam tempoh lima tahun.
Menurut Ahmad Zahid, sebagai permulaan, seramai 20,000 peminjam yang bankrap secara teknikal atau penjamin sosial, disasarkan bebas daripada status muflis dalam tempoh setahun.
“KITA MAHU MELEPASKAN MEREKA DARIPADA KONGKONGAN HUTANG YANG DITANGGUNG DISEBABKAN KEPERIHATINAN MEREKA (MENJADI PENJAMIN SOSIAL), KITA MAHU AGAR DAPAT DISELESAIKAN 100 PERATUS DALAM TEMPOH LIMA TAHUN,  MUNGKIN AGAK BERAT TETAPI IA TIDAK MUSTAHIL DILAKUKAN,” KATA AHMAD ZAHID.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Forum Pengguna Ke-7 2017, anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau juga yakin PPIM yang mempunyai kira-kira empat juta ‘pendokong ‘ iaitu terdiri daripada anggota dan penyokong akan dapat membantu mempercepatkan proses mengeluarkan peminjam muflis ini daripada tersenarai di bawah Akta Kebankrapan 1967.
“KITA JUGA BERHARAP PPIM MEMPERLUASKAN KHIDMATNYA SECARA MENYELURUH, TERMASUK KEPADA BUKAN ISLAM,
ITULAH KEINDAHAN ISLAM YANG SEBENAR,” KATANYA.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata PPIM juga diminta menyalurkan secara terus maklumat melibatkan perjudian atas talian, ah long, jenayah kolar putih dan sindikit keldai akaun kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan KDN.
“PDRM tidak akan berkompromi malah akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau Akta 297 (POCA) untuk mereka yang terlibat dalam aktiviti haram berkenaan, dengan menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara Malaysia dan PDRM untuk kesahihan laporan yang diterima,” katanya.
Forum kali ke tujuh itu disertai lebih 1200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan, wakil agensi kerajaan dan pelajar.
Dua tajuk utama yang dibincangkan adalah ‘Survival Pengguna : Mengadaptasi Kenaikan Kos Sara Hidup’ dan ‘Kebangkitan Pengguna : Mencegah Masalah Ahlong dan Muflis’.
Menerusi forum tersebut, PPIM turut menyerahkan tujuh resolusi kepada Ahmad Zahid antaranya mewujudkan satu kerusi senator bagi mewakili suara pengguna di Parlimen. – WD MY



4205) 50,000 INDIVIDU MUFLIS AKAN DIBANTU – BERITA HARIAN – 4/11/17



KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan semua 50,000 individu muflis daripada status kebankrapan dalam tempoh lima tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata individu berkenaan termasuk mereka yang diisytiharkan muflis akibat masalah teknikal atau menjadi penjamin sosial pinjaman untuk tempoh yang lama.
“Kita mahu melepaskan mereka daripada kongkongan hutang yang ditanggung disebabkan keprihatinan mereka (penjamin sosial), kita mahu agar dapat diselesaikan 100 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Mungkin agak berat tetapi tidak mustahil dilakukan,” katanya pada ucapan penutup Forum Pengguna Ke-7 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Menara FELDA di sini hari ini.

 Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Penasihat Kehormat PPIM, Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim; Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman; dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Terdahulu, Azalina berkata kerajaan akan berunding dengan pihak institusi kewangan dan bank selepas pilihan raya umum untuk mencari mekanisme penyelesaian terbaik bagi menangani isu 50,000 individu muflis di negara ini yang majoritinya adalah Bumiputera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tumpuan akan diberikan kepada individu yang sudah berumur, sakit dan penjamin sosial.
Mengulas mengenai hasrat kerajaan itu, Nadzim berkata isu individu muflis harus segera diselesaikan kerana ada kalangan individu terbabit diisytiharkan muflis melebihi tempoh 10 tahun.
Pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas RM500,000 kepada PPIM.
Sebanyak tujuh resolusi diluluskan pada forum itu, termasuk meminta kerajaan lebih terbuka dalam mendengar aduan rakyat dan memperuntukkan kerusi Senator kepada PPIM bagi mewakili suara pengguna.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL