Monday, August 10, 2020

5789) KPN DENGAR SENDIRI PENJELASAN ASRI HOT BURGER - BERITA HARIAN - 10/08/2020

 

KUALA LUMPUR: Pengasas Hot Burger Malaysia Mohd Asri Hamid, yang mendedahkan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh menerusi media sosial, bertemu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, di Bukit Aman di sini, petang tadi.

Dalam pertemuan selama lebih setengah jam bermula pukul 3 petang itu, Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut, memaklumkan butiran terperinci mengenai pendedahannya kepada Abdul Hamid.

Malah pertemuan yang turut disertai Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Abdul Hamid ingin mendapatkan gambaran sebenar rakaman dan maklumat mengenai perniagaan haram di kawasan berkenaan termasuk situasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan

Pertemuan itu turut dikongsikan oleh Abdul Hamid menerusi akuan Facebook peribadi beliau.

Sementara itu, akaun Facebook Friends Of PDRM menyatakan yang Asri turut bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bangunan Parlimen.

Asri sebelum ini sebelum ini mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia tular sejak kelmarin.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan ia sebagai fitnah mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjatuhkan reputasi PDRM.


Artikel oleh: Berita Harian

KPN DENGAR SENDIRI PENJELASAN ASRI HOT BURGER

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/719770/kpn-dengar-sendiri-penjelasan-asri-hot-burger

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...