Monday, August 10, 2020

5181) KITA MASIH 'MENJUARAI' MASALAH SOSIAL - MALAKAT TRIBUNE - 08/08/2020


RAUDHAH CITY - Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam di negara ini berkait rapat dengan tahap penguasaan ekonomi yang masih jauh ketinggalan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, salah satu daripada punca umat Islam ‘menjuarai’ masalah sosial dan keruntuhan institusi sosial adalah kerana ramai yang masih dibelenggu kemiskinan.

Beliau berkata, selain ketinggalan dalam sektor perniagaan, cabaran mengharungi taraf kehidupan yang semakin meningkat turut dibebani dengan masalah pembayaran gaji yang tidak setimpal.

“Keruntuhan institusi sosial kita banyak berpunca daripada kurangnya tumpuan ibu bapa dalam mentadbir keluarga kerana masing-masing sibuk mencari wang. Ada yang sampai langsung tiada masa untuk keluarga.

“Anak-anak dan pasangan semakin terabai. Perkara ini sedikit sebanyak menyebabkan kita tidak dapat mempraktikkan ajaran Islam dengan baik," katanya ketika berucap pada forum Merdekakan Ekonomi di Malakat Mall, hari ini.

Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, keadaan menjadi semakin teruk apabila umat Islam tidak bersedia ketika diuji dengan penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai kehilangan mata pencarian.

“Saya dimaklumkan ada 6,569 kes perceraian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Ini berpunca daripada masalah kewangan keluarga.

"Perkara ini nampak sahaja kecil tapi beri impak yang cukup besar kepada keharmonian institusi masyarakat.

“Itu belum kira lagi umat Islam yang lebih sejuta orang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan dibelenggu ketagihan judi,” katanya.

Justeru katanya, salah satu daripada matlamat PPIM ditubuhkan adalah untuk membawa keluarga umat Islam keluar daripada kancah kemiskinan dan masalah sosial.

“Ini adalah cabaran kepada kita semua. Walaupun kita bersendirian dalam keluarga masing-masing tapi ada peranan dalam masyarakat, sebab itu kita kena ambil berat antara satu sama lain,” katanya.

Justeru itu katanya, sudah sampai masanya umat Islam bersama-sama berjuang memperkasakan ekonomi ummah untuk membaiki kemelut yang dihadapi sekarang.

Tokki berkata, salah satu daripada usaha yang sedang dilakukan PPIM untuk tujuan itu adalah melalui penjualan syer Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang dilabur dalam perniagaan Malakat Mall.

“Jangan kita sesekali memandang remeh usaha ini kerana perjuangan ekonomi ini perlu bermula dan ia adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam.

“Sokongan kita umat islam pasti akan membawa kesan yang luar biasa,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

KITA MASIH 'MENJUARAI' MASALAH SOSIAL

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...