Wednesday, January 2, 2019

4754) TANGGUH LUASKAN KAWASAN LARANGAN MEROKOK – SINAR HARIAN – 2/1/19



SHAH ALAM – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di Malaysia.
Menurutnya, kementerian perlu mengikut perancangan sedia ada agar fokus mereka tidak terganggu sekaligus berjaya menguatkuasakan larangan itu sebaiknya.
“Saya rasa baik satu-satu dulu, baru boleh fokus. Selepas berjaya, pergilah ke tempat lain pula. Buat masa ini, biar satu-satu dulu sebab kempen yang pernah ada dulu pun tidak begitu berjaya.
“Sekarang ada penguatkuasaan baru, kita lihat apa yang boleh berlaku selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian sekarang adalah meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan langkah sebegitu benar-benar berkesan.
“Dulu kempen yang saya ingat, kempen di R&R (Kawasan Rehat dan Rawat) tapi saya tengok ada sahaja orang merokok.
“Jadi saya rasa kita perlu meningkatkan lagi penguatkuasaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nadzim juga kurang bersetuju dengan tindakan kerajaan memutuskan tindakan kompaun terhadap premis yang ingkar hanya akan diambil dalam tempoh enam bulan dari tarikh penguatkuasaan hari ini.
Menurutnya, daripada mengambil tindakan selepas enam bulan, beliau berpendapat lebih elok sekiranya tindakan diambil selepas enam kali peniaga mengingkari arahan.
“Boleh beri amaran kepada pekedai tapi saya rasa enam bulan itu tak perlu. Kalau dah cakap kepada pekedai, contoh bagi enam amaran dan bila dah buat enam kali, boleh ambil tindakan.
“Tak perlu sampai enam bulan, takut kurang impaknya, biar cepat sikit. Enam kali diberi amaran, dalam sebulan pun tak kisahlah, kemudian ambil tindakan,” tegasnya.

Artikel Oleh : Sinar Harian
TANGGUH LUASKAN KAWASAN LARANGAN MEROKOK

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...