Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Siti Aminah Abdullah berkata, cadangan kenaikan tarif air itu ternyata meresahkan rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga barangan termasuk makanan serta minuman dijual penjaja kecil.
“Sepatutnya kerajaan ne­geri stabilkan harga barangan keperluan dahulu sebelum naikkan tarif air. Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di pihak yang sama tentunya tiada masalah untuk laksanakannya,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Siti Aminah, tidak mustahil harga makanan dan minuman akan dinaikkan jika tarif air di negeri ini dinaikkan.
Pandangan serupa disuarakan Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang percaya kenaikan tarif air tidak sesuai dilaksanakan pada masa kini kerana pengguna sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan sedia ada.
“Sebelum ini jika berlaku apa-apa kenaikan pastinya pengusaha kedai makan akan menaikkan harga makanan dan minuman di premis mereka.
“Pastinya selepas ini mereka menggunakan alasan sama untuk menaikkan harga makanan dan minuman jika tarif air dinaikkan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula menzahirkan rasa kesal de­ngan tindakan kerajaan dan mahu mereka berhenti membebankan rakyat.
“Baru lapan bulan jadi ke­rajaan mereka sudah buat pelbagai keputusan yang menyusahkan rakyat, tidak tahu apa lagi yang akan dinaikkan selepas ini.
“Ada yang keluarkan kenya­taan kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat, sedarlah itu kenyataan ‘syok sendiri’,” tegas beliau.