Wednesday, January 30, 2019

4797) ISU FRANCAIS STESEN MINYAK PERLU TINDAKAN KERAJAAN – UTUSAN MALAYSIA – 30/1/19


KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kerajaan digesa untuk segera campur tangan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengusaha francais stesen minyak negara ini yang didakwa terus didiskriminasi oleh francaisor.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana pihaknya menerima banyak aduan membabitkan pelbagai masalah seperti isu pengedaran dan pengurusan stesen minyak yang sudah berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian yang menyeluruh.
Malah, yang terbaharu ialah kira-kira 20 pengusaha francais stesen minyak Petron dikatakan akan ditamatkan kontrak atas pelbagai alasan tidak munasabah, yang mana ada dalam kalangan mereka telah menguruskan stesen minyak lebih 20 tahun dan merekodkan jualan lebih daripada purata jualan.
“Justeru, saya menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri-menteri berkaitan segera bertindak menangani masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak berkenaan.
“Francais ini antara buah pemikiran Dr. Mahathir tetapi nampak gayanya francaisor pula yang mengambil kesempatan, Oleh itu, masalah dihadapi pasa pengusaha stesen minyak perlu diselesaikan secara terbaik, jika tidak perkara ini akan berterusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nadzim turut mendesak agar perjanjian melibatkan francaisor stesen minyak dan francaisi perlu dikaji semula.
Kata beliau, kerajaan perlu campur tangan dan memastikan agar perjanjian yang dilakukan antara kedua-dua pihak
itu adil serta perlu mengkaji syarat-syarat yang termaktub di dalam perjanjian tersebut.
“Kerajaan juga perlu menyelaraskan perjanjian bagi kesemua stesen minyak untuk mengelakkan unsur diskriminasi dan penindasan kepada francaisi, malah penamatan kontrak pengusaha stesen minyak juga perlu dilakukan oleh kerajaan dan bukannya pihak francaisor,” ujar beliau.
Dalam pada itu, seorang pengusaha stesen minyak Petron, Kamaruddin Atan berkata, pihak Petron telah menamatkan kontrak perjanjian pada 16 Januari lalu dengan alasan Service Station License Agreement (SSLA) tidak akan diperbaharui.
Dakwa beliau, pihak Petron menggunakan SSLA sebagai alat untuk menyingkirkan pengusaha-pengusaha yang tidak mematuhi kehendak mereka.
“Saya telah mengusahakan stesen minyak Petron di Taman Muda, Ampang selama hampir 20 tahun dari awal penubuhan sehingga kini. Saya tidak tahu mengapa kontrak saya ditamatkan memandangkan saya telah mematuhi segala syarat ditetapkan Petron menerusi surat yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2018.
“Tiba-tiba saya menerima surat penamatan kontrak pada 17 Disember 2018 dan dipaksa mengosongkan stesen tersebut pada 16 Januari lalu. Saya rasa tidak adil bagi pihak Petron untuk menamatkan SSLA dengan cara begini.
“Perbuatan mereka tidak berperikemanusiaan kerana tidak langsung mengendahkan kesusahan yang bakal dihadapi oleh saya dan keluarga termasuk 11 orang kakitangan yang bekerja di stesen minyak Petron itu, stesen minyak ini sahajalah sumber pendapatan saya,” katanya.

Artikel oleh : Utusan Malaysia
ISU FRANCAIS STESEN MINYAK PERLU TINDAKAN KERAJAAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...