Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, budaya dan adat resam yang diwarisi sejak sekian lama itu harus disemai kesemua lapisan masyarakat dan kaum khasnya generasi muda yang merupakan bakal pemimpin negara satu hari nanti.
 “Rakyat juga perlu berbangga kerana negara mempunyai kepelbagaian budaya dan adat resam, baik dari kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain lagi yang pastinya turut menjadi tarikan pelancong sewaktu musim perayaan dan keraian setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran Pertubuhan Adat Resam Dan Keris Melayu Nusantara (Pesantara) yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon di Corus Paradise di sini hari ini.
Tunku Azwil berkata, kehadiran dan kewujudan Pesantara itu juga mampu memberi pengajaran kepada generasi muda untuk lebih menghargai budaya dan adat resam masing-masing melalui pelbagai majlis dan program kemuafakatan dan kemasyarakatan yang akan bermula tidak lama lagi.
Beliau berharap dengan tertubuhnya Pesantara, ia bukan sahaja dapat melambangkan jatidiri sesebuah bangsa di negara ini malah memartabatkan lagi negara Malaysia yang diketahui umum hidup dalam negara harmoni dengan rakyatnya yang berbilang kaum.
Sementara itu, Lee Koon berkata, majlis pelancaran Pesantara sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan adat resam dan budaya sesebuah bangsa ini, sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat majmuk negara ini untuk menyantuni budaya antara sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain.
Jelasnya, aspek perpaduan dan keharmonian amatlah penting bagi terus menyuburkan keamanan dan kemakmuran yang telah dikecapi sebelum ini. - K! ONLINE