Friday, August 17, 2018

4595) PELAKSANAAN SST TINGKAT KUASA BELI – UTUSAN MALAYSIA – 17/8/18



KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kuasa membeli pengguna diramal terus meningkat selepas pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) walaupun terdapat persepsi bahawa pelaksanaan semula cukai tersebut tidak dapat menurun kos sara hidup.
Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank, Dr.Kamaruddin Mohd Nor berpendapat keadaan ekonomi yang secara amnya berada dalam keadaan baik sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan telah membuatkan rakyat semakin menunjukkan keyakinan dengan menyumbang menerusi perbelanjaan semasa.
Jelas beliau, perkara tersebut dapat dilihat dari segi prestasi sektor runcit domestik yang telah mencatatkan nilai tertinggi berjumlah RM42.7 bilion, Jun lalu.
“Dalam pada itu, kos sara hidup jika dilihat daripada kadar inflasi terkini juga mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak 40 bulan lalu.
“Oleh yang demikian, saya merasakan kuasa membeli pengguna secara amnya akan meningkat (selepas pelaksanaan SST). Namun begitu, perkara berkenaan juga sebenarnya bergantung kepada corak perbelanjaan individu itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, selepas 100 hari pentadbiran PH, pengguna masih ternanti-nanti dan mengharapkan perubahan terutamanya melibatkan harga barang serta kos sara hidup daripada kerajaan baharu.
“Sepanjang 100 hari ini, kita lihat kerajaan berusaha untuk melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka tetapi dalam masa yang sama harga barangan dan kos sara hidup masih kekal walaupun selepas pemansuhan GST.
“Oleh itu, kita berharap kerajaan dapat memberi tumpuan serius terhadap aspek penguatkuasaan untuk mengelakkan harga barang terus meningkat dan tidak dimanipulasikan peniaga selepas SST diperkenalkan semula nanti,” ujar beliau.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PELAKSANAAN SST TINGKAT KUASA BELI

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...