Wednesday, August 8, 2018

4584) KPDNHEP PERLU CAMPUR TANGAN KAWAL PENARIK KERETA – MALAYSIA GAZETTE – 8/8/18





KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk campur tangan terhadap bank-bank yang menggunakan orang tengah untuk mengutip hutang pinjaman kenderaan yang tertunggak.
Ini kerana, penarik kereta yang digunakan oleh bank-bank melakukan kekerasan atau ‘berlagak samseng’ kepada pengguna.
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa terdapat sesetengah individu yang diupah oleh pihak bank sebagai penarik kereta bertindak melampaui batas hingga menyebabkan pemiutang ketakutan dan rasa terancam.
Menurutnya, pihak bank juga perlu mengamalkan sikap beretika dalam mendidik penarik kereta agar mereka tidak ‘biadap’  ketika berdepan dengan pemiutang yang juga pengguna.
“Mana hak pengguna untuk dibela sekiranya ada pihak cuba membuat sesuatu dengan sesuka hati.
“Kita mahu kerajaan lebih agresif dalam menangani isu ini, tidak lagi boleh dibiarkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Nadzim mengadakan sidang media itu selepas video yang menunjukkan beliau memarahi seorang individu menjadi tular.
Individu berkenaan telah bertindak kasar terhadap pemandu kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Razak di sini.
Menerusi video yang dirakam berdasarkan kejadian pada 30 Julai lalu, lelaki terbabit yang mengaku sebagai penarik kereta yang  mengekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.
Pemandu kereta berkenaan berhenti di persimpangan masuk ke ibu pejabat agensi berita Bernama.
Berdasarkan pemerhatian pada video, dua lelaki dilihat turun dari kenderaan yang dinaiki dan kemudian menuju ke kereta Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki.
Individu terbabit dilihat mengetuk cermin dan meminta pemandu membuka pintu serta menyuruhnya turun dari kenderaan tersebut.
Melihat keadaan itu, Nadzim dan beberapa orang kakitangannya  telah mengekori kenderaan tersebut selepas berasa curiga dengan aksi kejar mengejar antara dua kenderaan berkenaan.
Menceritakan mengenai kejadian itu, Nadzim berkata, individu terbabit mengaku menjalankan tugasnya sebagai penarik kereta yang diupah oleh sebuah bank komersil.
Katanya, individu terbabit telah memaklumkan pemilik kenderaan mempunyai tunggakan menyebabkan kereta tersebut mendapat notis untuk ditarik.
Bagaimanapun katanya, individu terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen yang boleh mengesahkan dia mempunyai kuasa untuk menarik kenderaan tersebut.
“Kita juga mendapati pemilik kenderaan yang hendak ditarik telah membuat bayaran dan kereta itu juga sudah dibayar sebanyak 80 peratus.
“Mana boleh mereka (individu) terbabit bersikap demikian, tahan orang di persimpangan jalan seperti seorang samseng.
“Kalau mereka itu penjenayah mungkin pemilik kereta akan menjadi mangsa penipuan dan sebagainya. Bukan tidak pernah perkara seperti itu berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut Nadzim berkata, pemilik kereta Toyota Avanza itu telah menghubungi pihak bank dan pegawai yang menjawab panggilan tersebut telah meminta pemilik kenderaan mendapatkan bantuan polis.
Dalam pada itu, Nadzim menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) mempromosikan kempen-kempen tertentu di media massa berhubung langkah-langkah tertentu yang perlu diambil oleh pengguna sekiranya berdepan situasi seperti itu.
“Tidak timbul isu kami hendak menyebelahi mereka yang tidak membayar hutang sebaliknya, langkah yang perlu diambil oleh pihak bank biarlah berhemah.
“KPDNHEP boleh menjelaskan mengenai kad kuasa yang dikeluarkan oleh kementerian itu kepada penarik kereta yang perlu ditunjukkan kepada pengguna-pengguna sebelum mereka boleh menarik kereta yang memiliki tunggakan hutang.
“Perkara ini penting bagi mengelak berlakunya jenayah seperti samun dan sebagainya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
KPDNHEP PERLU CAMPUR TANGAN KAWAL PENARIK KERETA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...