Tuesday, August 28, 2018

4607) CAJ KHIDMAT RUNDINGAN DOKTOR SWASTA DIJANGKA NAIK – HARIAN METRO – 28/8/18


Putrajaya: Kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara dijangka dinaikkan antara RM30 dan RM125.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pada masa ini caj dikenakan adalah pada kadar RM10 hingga RM35 yang tidak disemak hampir 12 tahun.
Beliau berkata, cadangan bagi semakan caj berkenaan turut mendapat sokongan bukan saja pengamal perubatan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna.
“Hari ini (semalam), Kementerian Kesihatan mengadakan sesi untuk berbincang lebih lanjut bagi mendapatkan pandangan mengenai penetapan kadar harga konsultasi (perundingan) bagi doktor. Kadar ini tidak diperbaharui agak lama iaitu sejak 2006 dan kami dapat banyak saranan supaya ini diperkemaskan balik.
“Cadangan ini dibentangkan kepada Menteri Kesihatan untuk keputusan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara supaya diperhalusi lagi. Jika dibenarkan, perkara ini dibawa ke peringkat mesyuarat Kabinet untuk keputusan.
“Cadangan bagi semakan ini juga di peringkat akhir, jadi saya rasa tidak ada masalah dan tidak ambil masa lama kerana kita bukan bermula dari kosong,” katanya selepas sesi berkenaan di sini, semalam.
Sesi itu turut dihadiri wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, sebelum sebarang keputusan dibuat, Kementerian Kesihatan mendengar cadangan dan pandangan semua pihak bagi melihat adakah sesuai semakan dilakukan atau adakah terlalu tinggi dan sebagainya.
“Bagi pemegang taruh dan juga NGO, semua memahami dalam tempoh sejak 2006 hingga 2018, kos sara hidup dan harga pelbagai produk dan perkhidmatan sudah meningkat, jadi mereka setujua caj ini patut dinaikkan.
“Jadi, kita perlu fikirkan juga dari segi kebajikan mereka (pengamal perubatan dan doktor swasta,” katanya.
Difahamkan, caj konsultasi bagi doktor swasta di Malaysia antara yang termurah di rantau ASEAN. Vietnam mengenakan caj RM80, Indonesia (RM100) dan Singapura (RM120).
Artikel Oleh : Harian Metro
CAJ KHIDMAT RUNDINGAN DOKTOR SWASTA DIJANGKA NAIK

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...