Monday, August 27, 2018

4605) BERTINDAK SEGERA ATASI MANIPULASI HARGA – UTUSAN MALAYSIA – 26/8/18



KUALA LUMPUR 25 Ogos – Pihak penguat kuasa digesa bertindak pantas dalam menghadapi pelbagai ‘serangan’ daripada sikap peniaga yang semakin berani menaikkan harga menyebabkan berlakunya manipulasi harga di pasaran.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, menerusi statistik Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, dapat dilihat kelemahan anggota penguatkuasaan bagi membanteras kenaikan harga makanan dan barangan.
“Kelemahan yang ketara ialah penguatkuasaan. Sekiranya tiada tindakan segera diambil, maka kenaikan harga ini akan berlarutan dan tiada kesudahannya.
“Tanggapan bahawa penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai punca kenaikan harga adalah tidak tepat. Sudah tiba masanya penguat kuasa perlu bekerjasama dengan pengguna untuk mendapat maklumat bagi membanteras kenaikan harga tersebut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak mencatatkan kenaikan lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional (0.7 peratus) bagi Julai 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menerusi statistik IHP yang dikeluarkan, Kuala Lumpur merekodkan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol sebanyak 3.5 peratus manakala Sarawak sebanyak 0.9 peratus.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula faktor ‘orang tengah  yang dilihat mempengaruhi kenaikan harga sekali gus menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat di negara ini.
“Apabila menyebut tentang kenaikan harga, pengguna akan menyalahkan pihak peniaga, namun mereka lupa siapa di sebalik faktor kenaikan itu.
“Pihak kerajaan perlu meneliti semula rantaian bekalan daripada pembekal dan pengedar seterusnya kepada peniaga bagi menstabilkan harga tanpa sebarang kawalan melalui forang tengah’,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, dia tidak terperanjat melihat statistik IHP walaupun selepas GST dimansuhkan baru-baru ini.
“Kehadiran ‘orang tengah ini dilihat sudah lama memainkan peranan dalam kenaikan harga barangan dan boleh dikatakan sejak 25 tahun lalu mereka sudah memonopoli pasaran di negara ini.
“Kita tahu kenapa kos meningkat, siapakah yang tidak terlibat, siapakah yang membuat untung secara senyap-senyap dan siapakah yang ‘menyimpan barangan tersebut,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
BERTINDAK SEGERA ATASI MANIPULASI HARGA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...